Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini dianggap penting kerana mencari kata putus dalam isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kenyataan-kenyataan kontroversi yang dikeluarkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam tidak akan memberi kesan kepada kesepaduan parti berkenaan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata, ini kerana kesepaduan dalaman parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan perkara yang mustahak pada waktu ini.

Beliau berkata, pengalaman menjadi pembangkang selepas kalah pada pilihan raya yang lalu akan memberi teladan kepada UMNO untuk menjadi sebuah parti yang lebih kuat khususnya ketika berhadapan cabaran dari dalam mahupun luar.

“Saya percaya ini tidak akan membawa kesan berpanjangan dan kesan buruk. Apatah lagi menjelang PRU-15 penting untuk UMNO bersatu, lantaran itu saya percaya dakwaan-dakwaan itu tidak akan membawa perpecahan sebab mereka sedar kalau perpecahan berlaku semua berputih mata.

“Mereka nak menang jadi mereka sepatutnya  belajar daripada apa yang berlaku ketika jadi pembangkang selama 22 bulan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam Tajuddin dalam sidang medianya membuat beberapa dakwaan khususnya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara dakwaan beliau adalah Zahid berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri dan akuan bersumpah yang ditandatangani pemimpin UMNO itu untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa yang sama, beliau turut mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan Zahid.

Mengulas lanjut, Jeneri yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, kenyataan-kenyataan Tajuddin itu sebenarnya akan memakan dirinya kerana cuba memburukkan parti sendiri.

Beliau berkata, Tajuddin seperti orang yang marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

“Kenyataan dan pendedahan ini lebih banyak membawa keburukan kepadanya kerana ia memperlihatkan bagaimana sikap seorang pemimpin yang kecewa mengambil tindakan  merosakkan partinya sendiri.

“Sedangkan sebagai pemimpin, Tajuddin sepatutnya menjaga nama baik parti, imej parti. Ini dia serang presiden parti.

“Tindakan Tajuddin ini akan menjadi peluru kepada pembangkang untuk menembak UMNO lebih lagi menjelang pilihan raya. Oleh itu, sikap Tajuddin ini akan diadili oleh rakyat,” jelasnya.

Tajuddin membuat kenyataan-kenyataan kontroversi dalam sidang akhbar bagi menjawab keputusan UMNO untuk menggugurkan beliau daripada jawatan MKT.

UMNO berkata, pengguguran nama Tajuddin itu bagi membolehkan beliau menumpukan tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, tidak lama lagi.- MalaysiaGazette