KUALA LUMPUR – Tiga premis menjual alat teknologi penstrimen (android box) sekitar Petaling Jaya diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Rabu yang lalu.

Pengarahnya, Azman Adam berkata, ketika serbuan sebanyak 17 unit alat teknologi penstrimen dirampas selain dokumen yang berkaitan disyaki mengandungi karya hak cipta yang diadukan.

Beliau berkata, nilai rampasan di ketiga-tiga premis berkenaan dianggarkan berjumlah
RM6,800.

“Serbuan dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum itu,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, dua lelaki berumur 30-an turut ditahan ketika serbuan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Menurut Azman, jika disabitkan kesalahan pelaku boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu katanya, serbuan berkenaan bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan 12 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya.

Sebagai rekod, KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu.

“Ia memberi penekanan dalam usaha pihak kementerian tersebut untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan,” tambahnya. – MalaysiaGazette