Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) dan Kecekapan Tenaga Malaysia dan Projek Aplikasi Solar Termal (MAEESTA) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memandang serius terhadap Pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang merupakan isu dan cabaran negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dasar sains, teknologi dan inovasi negara (DSTIN) yang dibangunkan tahun lepas adalah untuk memperkenalkan konsep sains, teknologi dan ekonomi (STIE) yang menunjukkan kepentingan pembangunan sebagai asas pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, matlamat DSTIN 2021 hingga 2030 adalah untuk mengubah industri dan masyarakat daripada teknologi dengan memaksimumkan sumber sedia ada merangkumi pemerkasaan bakat tempatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang strategik negara, perundangan dan regulotori yang menyokong pembangunan STI dan peningkatan infrastruktur teknologi.

“MOSTI amat menggalakkan pembangunan dan penggunaan teknologi dan perkhidmatan perindustrian yang boleh mengurangkan pelepasan GHG, sekaligus memastikan kelestarian alam sekitar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Terminal dan Majlis Penyampaian Sijil UNIDO MAESTA, di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad ketika berucap pada majlis sama berkata, pihaknya sebagai agensi pelaksana projek kebangsaan untuk MAESTA telah diamanahkan menjadi tuan rumah kepada Unit Pengurusan Projek PMU.

Ujarnya, ia bertanggungjawab ke atas aktiviti atau pelaksanaan projek pengurusan harian dan bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa pemandu projek kebangsaan (NPSC) yang dipengurikan oleh MOSTI.

“Saya ingin menekankan bahawa daripada enam projek kemudahan di kilang yang telah disiapkan di bawah program UNIDO MAESTA, pasukan teknikal SIRIM telah terlibat secara langsung dalam tiga projek di PPNJ POULTRY and Meat Sdn Bhd; MIWA Manufacturing Sdn Bhd dan NB Poultry Processing Industries Sdn Bhd,” ujarnya. – MalaysiaGazette