Takiyuddin Hassan PAS Ismail Sabri PM
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas bersedia menerima Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekiranya hendak menyertai dan bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu, termasuk Tajuddin.

“Siapa sahaja boleh sertai Pas termasuk Tajuddin. Kita akan terima dan lihat potensi sokongan yang ada,” katanya dalam satu majlis di Kampar, Perak, semalam.

Tajuddin digugurkan sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO (MKT) minggu lalu, selepas secara rasmi dilantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Sabtu lalu, Pas Perak mempelawa Tajuddin bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili parti itu pada PRU 15 akan datang.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria memberi reaksi itu sebagai membayangkan kemungkinan Tajuddin tidak lagi diberi peluang bertanding di kerusi tersebut oleh Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Tajuddin dalam sidang media khasnya semalam, tidak menolak kemungkinan untuk bertanding pada PRU15 atas tiket Pas sekiranya dipecat daripada UMNO.

“Boleh dipertimbangkan…not a bad idea, tapi tak adalah saya nak masuk Pas.

“Tapi kalau dia orang (UMNO) berkasar, saya boleh berkasar tanding bebas, masa ‘tsunami’ (politik) pun sokongan (saya) naik, tak pernah kalah,” kata Tajuddin. – MalaysiaGazette