negara khairuddin abu hassan
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan meminta Perdana Menteri campur tangan dalam isu pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, Kampung Bahru.

Ini kerana dakwa Ketuanya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, terdapat unsur ‘berniat jahat’ dalam proses pengambilan tanah itu.

Katanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus berpegang kepada kenyataannya ketika menjadi Ketua Pembangkang pada 2019, melarang keras pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.

Beliau menegaskan, tanah bergeran milik individu diambil di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan komersial yang tiada kaitan bagi tujuan kepentingan awam.

“Syarikat pemaju pula tidak mempunyai terma perjanjian jelas dengan pemilik dan berubah dari semasa ke semasa.

“Pemaju juga tidak mempunyai pelan pembangunan induk secara mampan dan tidak pernah melibatkan pemilik yang sepatutnya menjadi rakan kongsi dalam perancangan pembangunan ini.

“Memburukkan lagi keadaan apabila Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) dipengerusikan oleh seorang yang telah muflis,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Khairuddin mempersoalkan macam mana Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengizinkan seorang ahli politik yang muflis menjawat jawatan itu, sedangkan ia bercanggah dengan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011.

Beliau berharap, kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab dengan menjamin kependudukan bercirikan Melayu dikekalkan di kawasan bandar khususnya bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, Pejuang Wilayah Persekutuan berpegang kepada prinsip mempertahankan hak pemilikan tanah orang Melayu di ibu kota dan seandainya mampu bukan saja sekadar mempertahankan jumlah pemilikan itu, tetapi harus menambahkan pemilikan hartanah Melayu.

“Inilah pengkhianatan pemimpin politik Melayu, pegawai kerajaan Melayu dan individu Melayu terhadap pemilik Melayu di Kampung Sungai Baru. Pengkhianatan oleh orang Melayu terhadap anak bangsa sendiri tidak boleh dimaafkan sama sekali.

“Kami dari parti Pejuang bukan bersikap perkauman dan sentiasa menjaga kepentingan pemeliharaan hak rakyat tanpa mengira kaum atau agama, tetapi dalam isu pengambilan tanah ini adalah contoh pengkhianatan orang Melayu sendiri yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

“Majlis Pimpinan Pejuang Wilayah Persekutuan sanggup bekerjasama dengan semua pihak demi mencari formula atau solusi secara ‘menang-menang’ demi kepentingan pemilik Kampung Sungai Baru,” katanya.

Katanya, kerajaan harus menangani permasalahan rakyat secara jujur serta ikhlas tanpa sebarang niat untuk mempolitikkan isu pengambilan tanah itu.

“Saya telah mengadakan sesi rundingan dengan Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Flat dan Teres Sungai Baru dan Malay Agricultural Settlements (MAS) Kampung Bharu Ahad lalu serta kelmarin berbincang untuk menghantar satu memorandum merayu campur tangan Perdana Menteri.

“Pejuang Wilayah Persekutuan dengan jawatankuasa bertindak ini akan menetapkan tarikh untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri.

“Kita berikrar untuk berdiri teguh bersama pemilik bagi membela serta mempertahankan hak mereka secara adil dan saksama mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Khairuddin turut berpendapat semua prosiding mahkamah antara pemilik dengan pemaju ditangguhkan dahulu bagi membolehkan sesi rundingan ‘menang-menang’ dapat dijalankan dalam suasana harmoni demi kepentingan semua pihak terbabit.

Katanya, pemilik Kampung Sungai Baru bukan anti pembangunan, tetapi mereka hanya menuntut hak yang setimpal demi kepentingan kelangsungan kehidupan masa depan di bandar raya Kuala Lumpur.

Tegasnya, sebarang bentuk salah laku dan salah guna kuasa oleh mana-mana pihak tidak boleh dikompromi sama sekali. – MalaysiaGazette