Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (tengah) melawat ke tapak pameran pada Majlis Perasmian Webinar dan Pameran Pemindahan Teknologi 2022 di Ibu Pejabat MPOB, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 28 JUN 2022.

BANGI – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi memberi amaran kepada pengilang-pengilang minyak kelapa sawit yang enggan membeli komoditi itu supaya tidak meneruskan usaha mereka.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Wee Jeck Seng berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengilang-pengilang terbabit.

“Ada kata kilang sudah berhenti beli buah sawit beberapa hari, tapi buah sawit tidak boleh tahan lama, ia mudah rosak sepatutnya pengilang kena bertanggungjawab biar harga tinggi atau rendah, itu adalah perniagaan.

“Pihak kami baru terima aduan maka MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) akan ambil tindakan dengan memanggil pengilang supaya nasihatkan mereka supaya beli buah, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri seminar dan pameran Pemindahan Teknologi MPOB (TOT 2022) di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), hari ini.

Jeck Seng menjawab pertanyaan media mengenai laporan agensi media asing bahawa beberapa pengilang minyak kelapa sawit di Malaysia telah menghentikan sementara pengeluaran berikutan kejatuhan mendadak harga minyak makan tersebut.

Dalam laporan itu, harga minyak sawit mentah Malaysia turun daripada paras tertinggi RM6,632 kepada RM4,922 satu tan.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu bagaimanapun tidak memperincikan bentuk tindakan yang bakal diambil kementeriannya.

Dalam pada itu, Jeck Seng berkata, pihaknya terkejut dengan perkara tersebut dan menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, kementeriannya telah mengarahkan MPOB untuk mengadakan perjumpaan dengan pengilang miyak kelapa sawit bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.

“Tadi saya sudah bincang dengan MPOB, dalam masa dua minggu kami terima aduan menyatakan kilang-kilang di lapangan tak beli buah kelapa sawit.

“Ini tidak sepatutnya berlaku, mereka kena beli juga. MPOB akan ambil tindakan supaya bincang dengan semua kilang-kilang ini sebab kita tahu bahawa buah sawit ini tidak boleh biarkan begitu sahaja kerana dua tiga hari ia akan rosak,” katanya. – MalaysiaGazette