Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Semakan semula pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh S&P kepada A- serta semakan semula prospek daripada negatif kepada stabil mencerminkan tindakan dasar kerajaan yang efektif bagi mendorong pemulihan ekonomi yang kukuh serta daya tahan negara ketika berdepan dengan pelbagai cabaran getir dan ketidaktentuan dalam landskap global.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, momentum pemulihan ekonomi di Malaysia diunjurkan bertambah baik dengan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Menurutnya, ekonomi negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan bagi tahun ini dengan peningkatan aktiviti ekonomi dan pelaksanaan semula projek pembangunan dengan kesan pengganda yang tinggi.

Kerajaan akan terus memantau keadaan global dan melaksanakan langkah berkesan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan sektor perniagaan terus dilindungi.

Malaysia, katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pendigitalan, penggunaan teknologi serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)/ kemampanan untuk meningkatkan prospek ekonomi dan daya tahan jangka panjang negara.

”Kesemua inisistif ini akan dilaksanakan seiring dengan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur jangka sederhana untuk menarik pelaburan berkualiti serta menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan pekerjaan bergaji lumayan,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas semakan semula prospek tersebut.

Semalam, firma penarafan S&P yang menyemak semula tinjauan penarafan kredit berdaulat jangka panjang Malaysia kepada stabil daripada negatif, mencerminkan jangkaannya bahawa momentum pertumbuhan negara yang stabil dan kedudukan luaran yang kukuh akan kekal untuk dua tahun akan datang.

Pada masa yang sama, ia menjangkakan bahawa persekitaran penggubalan dasar akan menyokong memulihkan tetapan fiskal kepada kedudukan yang lebih kukuh.

”Kami juga telah menyemak semula prospek kepada stabil berikutan trend konsisten pertumbuhan kukuh Malaysia berbanding negara dalam kumpulan pendapatan setara. Dalam hal ini, S&P mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 6.1% untuk tahun 2022 dan 5.0% pada tahun 2023,” menurut laporan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, berikutan pertumbuhan suku pertama pada 5%, unjuran S&P adalah selaras dengan jangkaan kerajaan untuk pertumbuhan lebih tinggi pada suku tahun berikutnya, sejajar dengan unjuran rasmi Kerajaan
pada kadar yang lebih tinggi di dalam julat 5.3 – 6.3%.

Tambahnya, momentum pemulihan ekonomi di Malaysia diunjur bertambah baik dengan pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

Ekonomi negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai unjuran pertumbuhan bagi tahun ini dengan peningkatan aktiviti ekonomi dan pelaksanaan semula projek pembangunan dengan kesan pengganda yang tinggi.

”Kerajaan akan terus memantau keadaan global dan melaksanakan langkah berkesan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan sektor perniagaan terus dilindungi,” ujarnya.

Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal secara strategik dan berperingkat apabila pemulihan ekonomi semakin kukuh dengan disokong oleh pelaksanaan berperingkat Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang bertujuan untuk menambah baik asas hasil negara.

Langkah ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang.

Kerajaan juga sedang menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) sebagai sebahagian daripada inisiatif pembaharuan fiskal untuk mengukuhkan kewangan awam dengan meningkatkan lagi disiplin fiskal, keberkesanan perbelanjaan dan ketelusan.

Akta FRA akan meningkatkan lagi kredibiliti pelaksanaan dasar fiskal bagi mencapai kemampanan kewangan awam jangka panjang dan kestabilan makroekonomi.

Akta ini akan dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini dan secara khususnya akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti melalui pelaporan yang lebih komprehensif termasuk penerbitan penyata perbelanjaan cukai, laporan belanjawan pertengahan tahun dan penyata risiko fiskal.

”Kerajaan akan terus bertindak secara strategik, proaktif dan tegas memandangkan persekitaran luaran yang semakin tidak menentu serta keadaan inflasi global yang tinggi yang juga telah mengakibatkan tekanan inflasi domestik demi memastikan trajektori pemulihan ekonomi kekal kukuh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast