Chin Woon menunjukkan makanan haiwan yang dihasilkan daripada sisa makanan.

GEORGE TOWN –  MCA Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri DAP bekerjasama dengan hotel serta restoran bagi mendapatkan sisa makanan untuk diproses bagi dijadikan makanan kepada anjing serta kucing di pusat perlindungan haiwan negeri ini.

Ketua Biro Gerakan Sosial MCA negeri, Cheah Chin Woon berkata, kerajaan negeri perlu campur tangan dalam isu ini memandangkan pemberian sumbangan serta dana bagi menangani isu kekurangan bekalan makanan kucing dan anjing yang ditempatkan di pusat perlindungan haiwan bukan satu jalan penyelesaian jangka panjang.

Jelas beliau, langkah itu juga secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran pembuangan sisa makan berlebihan dalam negara.

Chin Woon.

“Kita lihat isu pemberian sumbangan atau dana kepada pusat perlindungan haiwan bukan satu jalan penyelesaian terbaik dalam menangani isu kekurangan bekalan makanan buat haiwan tersebut. Malah, kita tidak tahu adakah dana yang disumbangkan digunakan secara telus atau sebaliknya.

“Sehubungan itu, kita gesa kerajaan negeri untuk mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan pemilik hotel serta restoran di negeri ini bagi mendapatkan sisa makanan untuk diproses menjadi makanan buat haiwan.

“Kerajaan DAP dilihat harus main peranan dalam isu ini selaku memerintah negeri ini malah ia juga boleh dijadikan contoh oleh negeri lain untuk melakukan perkara sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Chin Woon, pusat perlindungan haiwan tidak mampu melakukan projek ini memandangkan mereka tidak mempunyai dana untuk memproses sisa makanan itu menjadi makanan haiwan.

“Kita percaya sekiranya kerajaan negeri mengambil inisiatif ini Pulau Pinang akan menjadi negeri pertamamengeluarkan produk makanan haiwan yang dihasilkan daripada sisa makanan terbuang.

“Malah, ia juga boleh menjana ekonomi negeri sekiranya mereka mengeksport makanan haiwan dihasilkan itu ke luar negara,” ujarnya.

Pada April lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan rakyat di negara ini menghasilkan sebanyak 17,000 tan sisa makanan merangkumi 44.5 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata, daripada jumlah sisa makanan berkenaan, sebanyak 76 peratus merangkumi sisa makanan yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dimakan oleh manusia seperti sisa tulang, kulit buah-buahan dan akan sayuran.

“Sebanyak 24 peratus lagi adalah sisa makanan yang boleh dielakkan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging dan sayur-sayuran,” jelas beliau. – MalaysiaGazette