Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke 55 Pelaburan MARA Berhad (PMB) di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman termasuk mahu presiden parti itu berundur akan diselesaikan secara kekeluargaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana isu yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu merupakan masalah dalaman parti.

“Macam inilah, itu dalam keluarga kita, kita selesai melalui dalam keluargalah. Semangat kekeluargaan ada, jadi kita selesai melalui keluarga,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-55 Pelaburan Mara Berhad di sini hari.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Tajuddin yang mendesak supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden UMNO.

Dalam sidang media semalam, Tajuddin turut mendakwa terdapat ahli Parlimen parti itu menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Kata lagi, antara ahli parlimen yang memberikan sokongan kepada Presiden PKR itu ialah Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette