Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seorang pemimpin yang jujur dan setia kepada ketua.

Hal itu didedahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berdasarkan pengalamannya ketika berada dalam Kabinet pada 2008 dan mengenali lebih rapat Presiden UMNO itu.

Katanya, Ahmad Zahid antara menteri yang menolak cadangan untuk menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Zahid Hamidi kata, macam mana dia nak lawan Pak Lah, sedangkan Pak Lah yang lantik dia (menteri).

“Dari situ kita boleh lihat, Zahid Hamidi adalah seorang pemimpin yang setia kepada orang yang menolong dia.

“Kita sokong kepada pemimpin bukan hanya kerana janji, tetapi sifat Zahid Hamidi yang setia kepada Pak Lah,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik di Facebooknya, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan kata Zaid, disebabkan itu juga beliau secara prinsipnya memilih UMNO daripada menyokong parti Pas.

Katanya, walaupun UMNO dianggap ada sedikit kekurangan selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), tetapi sekurang-kurangnya ia lebih maju dan progresif berbanding Pas.

Pas pula, kata beliau, tidak pernah fokus kepada hal yang lebih penting untuk negara.

Parti itu hanya mengutamakan perkara yang rakyat sendiri tidak dapat mengukur keikhlasannya.

“Saya rakyat Kelantan, saya sudah masak dengan Pas.

“Sejak 32 tahun Pas memerintah, saya tahu perangai mereka. Sebab itu saya kata lebih baik pilih UMNO daripada Pas. – MalaysiaGazette