Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berlapang dada dan menyerahkan kepada ahli UMNO terutama akar umbi untuk membuat penilaian berhubung dakwaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin yang membuka mulut selepas dipecat jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendakwa beliau adalah saksi hidup yang pernah menyaksikan Ahmad Zahid mengetuai gerakan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Namun kata Ahmad Zahid, sama ada Tajuddin bercakap benar atau sebaliknya perlu diputuskan oleh ahli-ahli sendiri.

“Jika anda tanya saya, apa yang saya boleh nyatakan hanyalah terpulang kepada ahli UMNO khasnya akar umbi untuk buat penilaian sama ada itu tidak benar atau ada sedikit kebenaran,” katanya kepada media di luar perkarangan Mahkamah Jalan Duta selepas selesai perbicaraan rasuah Yayasan Akalbudi untuk hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memohon semua pihak menghormati Perlembagaan UMNO dan penyingkiran Tajuddin sebagai MKT juga selaras dengan kuasanya sebagai Presiden UMNO.

Ketika ditanya jika Tajuddin akan berdepan dengan apa-apa tindakan, Ahmad Zahid menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin UMNO seandainya ada sebarang aduan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga hanya tersenyum ketika disoal tentang gerakan segelintir pemimpin UMNO sebelum ini yang mahu beliau berundur.

Sebaliknya beliau berkata tidak tahu-menahu berhubung dakwaan itu.

“Saya tidak tahu tentang mesyuarat itu,” ujarnya ringkas. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahmad Zahid ketuai tanda tangan akuan bersumpah sokong Anwar jadi PM – Tajuddin