Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hadir pada sidang media khas mengenai pemecetan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO di Hotel Eastin, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JUN 2022.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa beliau adalah saksi bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai gerakan Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, pendedahan itu dibuat hari ini kerana perkara itu tidak didedahkan Presiden UMNO itu kepada ahli-ahli partinya.

“Saya saksi hidup. Ada diminta tandatangan surat sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Kata No DAP, No Anwar tetapi memang ada SD (UMNO) sokongan Anwar kepada Istana. Saya diminta tandatangan.

“Mula-mula saya tak nak, tetapi dah masam muka, tandatangan juga,” katanya pada sidang media di hotel Eastin, di sini, hari ini.

Ditanya siapa yang mengepalai gerakan bagi mendapatkan tanda tangan akuan sumpah berkenaan, Tajuddin dengan terang berkata ia dikelapai Ahmad Zahid.

“Mestilah, dia kepala,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menamakan beberapa Ahli Parlimen lain yang menandatangani akaun bersumpah itu, antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

“Ahli Parlimen lain? Datuk Seri Hishammuddin saya tak ingat, KJ (Khairy Jamaluddin) pun saya tak ingat (tanda tangan SD) atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette