Keadaan treler yang menyeludup masuk pendatang yang tersadai di San Antonio, Texas. Foto Xinhua

HOUSTON – Angka kematian pendatang yang ditemui dalam treler 18 roda yang tersadai di San Antoni meningkat kepada 50 orang.

Tragedi itu merupakan salah satu operasi penyeludupan migran paling tragis dalam sejarah Amerika Syarikat, menurut laporan media.

Sebanyak 46 ditemui mati di tempat kejadian dan empat yang lain kemudiannya disahkan meninggal dunia di hospital kawasan itu, lapor Texas Public Radio, yang memetik Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard sebagai berkata.

Ebrard berkata, 22 adalah warga Mexico, tujuh dari Guatemala, dua dari Honduras dan baki 19 lagi yang mati masih belum dikenal pasti kerakyatannya.

Sekurang-kurangnya 16 yang lain, termasuk empat kanak-kanak, dibawa ke hospital kerana keletihan dan dehidrasi, kata pegawai tempatan pada sidang akhbar.

Hampir 100 orang dilaporkan bersesak di dalam treler itu.

Tiga orang kini sudah ditahan polis tetapi tidak jelas sama ada mereka terlibat dalam tragedi itu, menuurt Ketua Polis San Antonio, William McManus dalam satu taklimat.

Polis menerima panggilan pada petang Isnin daripada individu yang bekerja berhampiran kawasan tersebut selepas mendengar jeritan meminta bantuan daripada kenderaan.

Apabila polis tiba dan membuka pintu treler, terdapat mayat di dalamnya,

Ada juga yang ditemui masih hidup kerana tubuh mereka terasa panas apabila disentuh dan mengalami strok haba dan keletihan.

Siasatan mendapati tiada bekalan air dan tiada unit pendingin hawa berfungsi di dalam treler berkenaan, menurut Ketua Bomba San Antonio, Charles Hood.

Suhu di San Antonio pada hari Isnin itu meningkat kepada 101 darjah Fahrenheit (38.3 darjah celcius) dan kemungkinan haba dalam treler mungkinjauh lebih tinggi daripada itu, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, San Antonio Express-News melaporkan percaya treler yang membawa pendatang itu telah diklonkan  dengan warna yang sama dan mengenal pasti nombor daripada Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat dan Texas DOT sebagai kenderaan yang dimiliki oleh syarikat trak Texas Selatan untuk mengelak pihak berkuasa.- Xinhua