Seorang lelaki warga Indonesia berdepan detik cemas apabila separuh badannya tertimbus dalam lubang ketika melakukan kerja pembaikan paip di Laman View Cyberjaya petang ini.

CYBERJAYA – Seorang lelaki warga Indonesia berdepan detik cemas apabila separuh badannya tertimbus dalam lubang ketika melakukan kerja pembaikan paip di Laman View Cyberjaya , sini, petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ketika kejadian, mangsa, Samsul Maarif, 43, sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan paip di dalam lubang yang digali sedalam 3.04 meter.

“Ketika sedang membuat kerja-kerja pembaikan itu, secara tiba-tiba tanah yang digali telah runtuh lalu menimbusi sebahagian badan mangsa dari paras pinggang dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norazam berkata bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam 2.16 petang, tidak membuat sebarang penyelamatan kerana mangsa telah dikeluarkan oleh rakan sekerja sebelum pihak bomba sampai.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan dan pendarahan di mulut telah diberikan rawatan awal oleh anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.- BERNAMA