Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beramah mesra dengan Menteri Luar Australia, Penny Wong (kiri) ketika menerima kunjungan hormat menteri itu di DoubleTree by Hilton Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Malaysia optimis yakin rundingan untuk menaik taraf perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-Australia-New Zeland (AANZFTA) dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, AANZFTA mampu memperkukuhkan kerjasama ekonomi dalam bidang strategik baharu sekiranya dapat dimuktamadkan segera.

Menurut beliau, perjanjian perdagangan bebas itu penting kepada negara ini kerana Malaysia hanya mempunyai ekonomi dan negara dagang yang kecil.

“Pasaran dalam negara ini kecil, sudah tentu dengan penyertaan Malaysia dalam banyak perjanjian perdagangan bebas ini akan membuka ruang kepada ekonomi negara. Malaysia memerlukan rakan dari negara lain bagi mengembangkan potensi atau memberikan pasaran secara meluas.

“Sehingga kini, kita sudah berjaya menandatangani dan meratifikasi 15 perjanjian perdagangan bebas, membabitkan tujuh perjanjian secara bilateral dan lapan daripadanya secara serantau,” katanya selepas mengadakan pertemuan pada majlis makan tengahari bersama Menteri Luar Negara Australia, Peny Wong.

Kunjungan hormat itu diadakan di sebuah hotel di sini.

“Kita akan dapat menikmati duti import yang dihapuskan atau pasaran yang lebih meluas, seterusnya memberi manfaat kepada negara kita,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohamed Azmin berkata, pihaknya turut membincangkan untuk menyemak semula beberapa platform kerjasama perdagangan supaya lebih relevan kepada tuntutan semasa.

Mengulas mengenai sektor baharu berkenaan, Mohamed Azmin berkata, terdapat lima sektor yang digariskan iaitu elektrik dan elektronik (E&E) khusus dalam semikonduktor, industri kimia, automatif dan aeroangkasa dan ekonomi digital.

Beliau berkata, Wong turut bersetuju untuk memperkenalkan pelabur baharu dari Australia yang dapat meletakkan negara ini selari dengan dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“Kita mahukan pelaburan yang berkualiti dan berteknologi tinggi kerana ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing dan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam negara menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast