Orang ramai meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu berkunjung di Zoo Negara selepas kerajaan membenarkan pembukaan sektor pelancongan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ampang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan pelancongan domestik pada tahun lalu menurun 54.5 peratus untuk merekodkan RM18.4 bilion (2020: RM40.4 bilion), terendah sejak survei ini dijalankan pada 2008.

Sekatan sempadan, peraturan standard prosedur dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berterusan kesan daripada kemunculan varian baharu Covid-19 seperti Omicron dan Delta terus memberi impak kepada pelancongan domestik pada 2021.

Bencana banjir yang berlaku pada akhir tahun 2021 di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia menyebabkan perjalanan domestik menjadi lebih teruk.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah ketibaan pelawat domestik mencatatkan 66.0 juta pelawat berbanding 131.7 juta pelawat tahun sebelumnya, menurun 49.9 peratus.

Jika dibandingkan dengan 2019 (sebelum pandemik Covid-19), jumlah ketibaan domestik menurun sebanyak 72.4 peratus.

Begitu juga, perbelanjaan turun 82.2 peratus berbanding 2019 disebabkan oleh perbelanjaan pelawat pelancong domestik yang jatuh -68.0 peratus, manakala pelawat harian turun -36.3 peratus.

Ini selari dengan pertumbuhan negatif dalam jumlah pelancong domestik dan pelawat harian yang masing-masing mencatatkan -67.8 peratus dan -40.2 peratus.

Dalam tempoh ini, bilangan perjalanan domestik turun 50.7 peratus untuk merekodkan 72.4 juta perjalanan berbanding 147.0 juta perjalanan pada 2020.

Perjalanan bermalam turun -67.8 peratus (15.5 juta perjalanan), manakala perjalanan harian menurun -42.4 peratus (56.9 juta perjalanan).

Dari segi perbelanjaan, dapat dilihat bahawa terdapat perubahan struktur, yang mana peratusan pelancong harian melepasi perbelanjaan pelancong bermalam dengan merekodkan 59.8 peratus (2020: 42.7%).

Membeli-belah merupakan komposisi terbesar daripada jumlah perbelanjaan dengan sumbangan 50.3 peratus (2020: 52.6%), diikuti oleh makanan & minuman, 15.1 peratus (2020: 18.5%) dan pembelian bahan api kenderaan 11.1 peratus (2020: 9.0%).

Membeli-belah juga kekal sebagai tujuan paling popular untuk pelawat domestik sejak 2020, menyumbang 36.4 peratus (2020: 42.3%) manakala melawat saudara-mara & rakan-rakan menyumbang 24.2 peratus (2020: 32.0%), namun jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun sebelum pandemik yang mencatatkan 42.3 peratus.

Situasi dijangka ini disebabkan oleh sekatan antara daerah dan antara negeri yang menyebabkan orang ramai tidak dapat melawat saudara mara.

Sementara itu, terdapat trend menaik bagi rawatan perubatan dan hiburan/menghadiri acara khas/sukan yang menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, masing-masing mencatatkan 10.3 peratus dan 5.4 peratus.

Pelawat domestik mengikut pendapatan isi rumah RM5,001 hingga RM10,000 menunjukkan peningkatan ketara dengan merekodkan sumbangan tertinggi sebanyak 30.4 peratus berbanding tahun sebelum pandemik (2019: 23.3%).

Sementara itu, perjalanan pelawat domestik mengikut pendapatan isi rumah antara RM1,001 hingga RM3,000 menurun 6.4 peratus daripada 2019 kepada 29.3 peratus.

Negeri yang paling ramai dikunjungi pelawat domestik pada 2021 ialah Selangor dengan 10.2 juta, diikuti oleh Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing 9.1 juta, dan 6.5 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast