Che Asmah Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perintah Komital (Pemenjaraan) dalam penguatkuasaan penghakiman ke atas kes-kes melibatkan institusi keluarga bukan merupakan solusi terbaik.

Ini kerana kes-kes melibatkan institusi keluarga perlu diselesaikan dengan lebih berhemah mengambil kira emosi dan kesan jangka panjang kepada semua pihak terlibat terutamanya anak-anak dan ahli keluarga dari kedua-dua belah pihak.

Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanahair, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, apabila berlaku penceraian tanpa mengira dari agama atau bangsa mana sekali pun.

Yang paling terkesan adalah anak-anak hasil perkahwinan yang telah dibubarkan, katanya.

Perceraian yang tidak diuruskan dengan baik akan meninggalkan luka dan parut yang mendalam kepada anak-anak sepanjang hayat hidup mereka sekali gus mempengaruhi sikap dan tingkah laku anak-anak setelah dewasa kelak.

”Apatah lagi apabila kes ini telah menjadi begitu teruk sehingga pasangan terbabit perlu naik turun mahkamah sehingga si ibu perlu menjalani perintah pemenjaraan akibat dari tindakan si bapa serta mendapat liputan akhbar yang meluas. Ianya juga membabitkan maruah keluarga kedua belah pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kelemahan pengurusan kes-kes keluarga di mahkamah syariah dan sivil dan pendekatan lapuk yang telah dikenal pasti perlu dibuat penambahbaikan segera.

Kes yang berlarutan serta penangguhan kes yang berpanjangan tidak seharusnya dibiarkan.

Menurutnya, sistem sokongan psikososial dan mental juga perlu diberi keutamaan kepada pihak-pihak yang terlibat bagi membantu merekameneruskan kehidupan fasa selepas penceraian dengan sejahtera.

”Keluarga terdekat kepada pasangan yang terlibat perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh memudahkan urusan pasangan yang bercerai demi kesejahteraan anak-anak. Kedua-dua pasangan yang terlibat di dalam kes penceraian perlu meletakkan kepentingan untuk menguruskan masa depan anak-anak dengan sebaik mungkin dan mengenepikan perasaan dendam dan ego masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette