KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menganjurkan Pertandingan MasterChef Return To Work (RTW) atau RTWPreneur bagi memupuk bakat seni kulinari pencarumnya.
Peserta program yang diadakan buat julung kalinya di Kolej Komuniti Selayang dekat sini selama dua hari dari 28 hingga 29 Jun lalu.
Para pesertanya adalah pencarum PERKESO yang mengalami hilang upaya akibat kemalangan ketika bekerja serta dipulihkan menerusi rawatan rehabilitasi di bawah program RTW.
Pertandingan memasak yang diadakan diadili oleh tiga juri, blogger masakan terkenal, Nurhayati Zainol Abidin atau YatieKitchen, Ketua Chef Kolej Komuniti Selayang, Mohammad Kamil Zulkeflie dan Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso (Operasi), Johan Riba Marin.
Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Selayang, Mohd Ruzi Hamzah.
Juara pertandingan Masterchef RTW, Mohd Asri Mohd Sharap, 39, bekas chef sebuah hotel yang cedera parah pada lutut kiri akibat menjadi mangsa langgar lari berkata, tidak pernah sekali beliau berpatah semangat malah terus kuat untuk bangkit dan memulakan perniagaan sendiri.
Katanya, kemenangan itu menjadi pembakar semangatnya dan dianggap sebagai permulaan untuk kembali bekerja dalam industri makanan.
“Saya mengalami kecederaan lutut sehingga doktor menasihati untuk berehat serta berhenti kerja selepas kemalangan motosikal ketika pulang bekerja tahun lalu dan kemudiannya saya mengambil keputusan berhenti untuk jalani rawatan dan fisioterapi.
“Bagi saya, bekerja sendiri adalah pilihan lebih baik kerana tidak perlu berdiri lama sehingga lapan jam seperti kerja terdahulu saya sebagai chef hotel,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Masterchef Return To Work di Kolej Komuniti Selayang hari ini.
Mohd Asri membawa pulang ketuhar elektrik 60 liter, buku memasak Yatie Kitchen serta sijil penyertaan.
Sementara itu, pemenang tempat keempat pertandingan MasterChef RTW, Ain Nabilah Md Yusof, 27, berkata, program itu memberinya inspirasi walaupun keadaan tubuhnya yang tidak mengizinkan.
Jelas beliau yang dahulunya terlibat dalam kemalangan motosikal sehingga kehilangan kaki kiri berkata, pertandingan dan kursus kulinari profesional yang disediakan membuatkannya berminat untuk menceburi bidang berkenaan secara kecil-kecilan.
“Sudah masuk tahun kedua saya terlibat dalam kemalangan. Sebelum ni saya bekerja sebagai penghantar makanan, kena langgar kereta.
“Saya nak juga cabar diri saya macam orang lain. Saya tak mahu mengharapkan bantuan orang. Sampai bila nak harap orang kalau sendiri tak mahu bangun?
“Mungkin sehari dua boleh tapi lama-lama nanti belum tentu ada. Orang lain pun ada hal sendiri yang nak diselesaikan. Jadi sayaun tak mahu jadikan kekurangsn ini sebagai beban kepada orang lain” jelasnya.
Sembilan peserta program RTW menyertai pertandingan itu dengan lima daripadanya dipilih peserta terbaik.
Mereka turut dipulihkan menerusi rawatan rehabilitasi di bawah program RTW.
Untuk rekod, program RTW membantu 45,230 pencarum untuk kembali bekerja dengan lima peratus daripadanya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.
PERKESO juga membantu 7,163 peserta RTW kembali bekerja tahun lepas dan daripada jumlah itu, 447 peserta (6.67 peratus) memilih untuk bekerja sendiri. – MalaysiaGazette