Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menyelar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai satu tindakan tidak bijak dan memalukan dirinya sendiri.

Lantaran itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan keputusan MKT memecat Ahli Parlimen Pasir Salak itu adalah amat tepat.

Malah, beliau menyarankan agar lantikan Tajuddin sebagai Duta Malaysia ke Indonesia ditarik balik.

“Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang telah beliau tunjukkan itu membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT.

”Cukup-cukuplah memegang jawatan dalam parti dan juga kerajaan, berilah ruang dan peluang pemimpin lain pula untuk berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muqharabbin, ramai pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan yang lebih layak dan boleh dilantik sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.

Tambahnya, pelantikan Tajuddin yang terpalit dengan pelbagai kontroversi di negara sendiri adalah tidak baik untuk imej Malaysia.

“Jangan hanya kerana ingin menjaga hati kawan-kawan, nama parti dan imej negara terpalit sekali lagi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan memalukan.

”Sebagai pemimpin, kita sudah terikat dengan amanah dan janji namun bila dibuka segala minit mesyuarat hanya kerana dilucutkan jawatan, itu hakikat menunjukkan beliau (Tajudin Rahman) adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah,” ujarnya.

Muqharabbin berkata, sebagai Presiden yang dipilih dan diberi kepercayaan oleh ahli parti, Datuk Seri Ahmad Zahid telah membuktikan kredibilitinya sehingga UMNO kembali menerajui negara dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

“Beliau (Ahmad Zahid) dikenakan tindakan mahkamah setelah menjadi presiden dan pada masa itu kita dan parti UMNO ditekan sampai lumat disaat parti tiada kuasa.

”Kita perlu ingat bahawa walaupun presiden diheret ke Mahkamah tiap-tiap minggu, tapi beliau dan barisan kepimpinannya telah berjaya mengangkat Datuk Sri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan walaupun BN dalam serba kekurangan, namun kita berjaya memenangi 7 Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri termasuk Melaka dan Johor,” ujar beliau lagi.

Tambah Muqharabbin, kini adalah masa untuk seluruh ahli parti menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) dan bukannya memecahbelahkan parti dari dalam.

“Jangan diungkit hal yang lalu, kita harus fokus untuk menghadapi PRU15 dan bukannya menimbulkan kekalutan dalam kalangan ahli parti.

”Kita sedang bersiap untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memberi peluang kepada BN memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan negara ke landasan yang betul selepas dirosakkan oleh pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya. – MalaysiaGazette