Tiga termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Myvi dan treler bertembung di Jalan Rawang Serendah awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Dua sekeluarga dan seorang wanita antara tiga maut selepas kereta yang dinaiki mereka telah bertembung dengan sebuah treler dalam satu kemalangan di Serendah Selangor hari ini.

Mangsa-mangsa dikenalpasti sebagai Janani Balakrishnan, 25, dan dua-beranak iaitu Tamilselvam Pannirselvam, 25 dan adik Sasitaran Pannir Selvam, 18.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, kemalangan itu berlaku lebih kurang 4.30 pagi tadi.

Tiga termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Myvi dan treler bertembung di Jalan Rawang Serendah awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

“Sejurus tiba jam 4.57 pagi di lokasi kejadian, didapati berlaku satu kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah treler di Jalan Rawang-Serendah, hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah.

“Kedua-dua kenderaan bertembung, yang mana kereta Myvi dipandu seorang wanita dan dinaiki dua beranak sekeluarga datang dari arah Rawang ke arah Serendah manakala treler dari laluan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, anggota bomba yang berada di lokasi terpaksa mengeluarkan tiga mangsa Myvi yang tersepit menggunakan peralatan khas.

Tiga termasuk seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Myvi dan treler bertembung di Jalan Rawang Serendah awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan dari kereta remuk itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah oleh pegawai kesihatan dari Kuala Kubu Bharu yang tiba di lokasi nahas.

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut proses bedah siasat untuk mendapatkan punca kematian mereka.

Manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette