Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Seorang penolong pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa Bella berada di dalam keadaan takut dan tubuh badannya kurus semasa berjumpa remaja perempuan sindrom down itu buat kali pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tahun lepas.

Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata semasa beliau melawat remaja itu pada 4 Julai 2021, Bella bukan sahaja dilihat tidak gembira malah berjalan dalam keadaan tunduk tanpa melihat sesiapa selain kedua-dua tangannya turut berbalut.

“Saya berjumpa Bella yang dirawat di wad COVID hospital itu dan saya melihat mukanya berparut. Bella juga dilihat tidak senyum serta ketakutan,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Menceritakan lebih lanjut, saksi pendakwaan ke-12 itu berkata pada 24 Jun 2021, beliau menerima WhatsApp daripada Siti Bainun yang memaklumkan Bella jatuh dan terkena air panas.

“Siti Bainun hantar WhatsApp pada 3.03 petang dan dia ada menghantar beberapa gambar kecederaan pada tangan dan kepala Bella. Siti Bainun kata dia telah pergi ke hospital dan membeli ubat spray kuning.

“Dalam WhatsApp itu juga, Siti Bainun turut nyatakan Bella positif COVID-19 tetapi dia tidak membawa Bella untuk buat ujian swab kerana takut dengan keadaan fizikal Bella,” kata saksi itu.

Menurut Mohamad Imran, Siti Bainun memberitahunya bahawa Bella terkena air panas dua hari sebelum hari raya.

Kepada soalan Fazeedah apakah tindakan yang dilakukan selepas dimaklumkan oleh Siti Bainun bahawa Bella terkena air panas, saksi itu berkata: Saya minta Siti Bainun membawa Bella ke hospital dan dia maklumkan akan membawa remaja itu ke hospital selepas habis kuarantin pada 29 Jun 2021.

“Pada 24 Jun 2021, saya berbincang dengan pelindung kanak-kanak lain untuk mereka membawa Bella ke hospital dan saya berbincang dengan Ketua Unit Kanak-Kanak JKM pada keesokannya (25 Jun) dan berusaha untuk mendapatkan ambulans untuk membawa Bella ke hospital. Siti Bainun kemudian maklumkan dia telah ditahan di wad Hospital Sungai Buloh (kerana positif COVID-19).

“Saya bertanya kepada Siti Bainun bagaimana keadaan Bella di rumah dan Siti Bainun hanya memaklumkan remaja itu dijaga oleh anak-anak di rumah itu,” kata Mohamad Imran.

Saksi itu berkata, kali pertama beliau terserempak dengan Bella selepas dijaga Siti Bainun adalah pada 17 Februari 2021 di Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur dan keadaan Bella pada masa itu gembira selain turut memeluk Siti Bainun.

Mohamad Imran berkata, beliau tidak pernah bersetuju Bella diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun kerana tidak mengenali wanita itu secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas rumah kebajikan itu.

Bagaimanapun, Mohamad Imran berkata, Mahkamah Majistret Kanak-Kanak membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun bermula 14 Julai sehingga 20 September 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 September 2020.

Terdahulu, saksi berkata, Siti Bainun telah menyampaikan hasratnya itu kepada seorang pegawai pelindung kanak-kanak dikenali Siti Sarah untuk menjaga remaja berkenaan dan berdasarkan perbincangan dengan Siti Bainun, kanak-kanak itu ditempatkan di kediaman keluarga Siti Bainun di Ampang.

“Bella adalah kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang perlu diawasi pihak lain selain Siti Bainun serta sokongan keluarga penting untuk memastikan keselamatan Bella sentiasa dipelihara.

Menurut saksi itu, Bella sebelum ini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban sejak 2011 sehingga 2020 sebelum Siti Bainun menjaga remaja itu.

Mohamad Imran berkata, Bella juga tidak bersekolah selepas dijaga oleh Siti Bainun.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam bersambung. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast