Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah memulakan siasatan membabitkan kematian mengejut dua orang kena tahan (OKT) berkaitan kes dadah di dalam lokap di Jasin, Melaka dan Pulau Pinang.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, dalam kes pertama pada 17 Jun lalu, OKT seorang warga tempatan berumur 50 tahun ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Suspek kemudian telah ditahan di lokap Balai Polis Jasin, IPD Jasin Melaka namun, OKT tersebut didapati tidak sedarkan diri pada 23 Jun lalu.

“Pada jam 12.00 tengah hari yang sama individu itu dihantar dengan menggunakan ambulans ke Hospital Jasin, Melaka, untuk mendapatkan rawatan awal seterusnya, dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, pada 26 Jun jam 12.30 tengah malam, OKT yang ditempatkan di wad didapati pengsan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 1.24 pagi di Hospital Melaka.

“Proses bedah siasat telah dijalankan ke atas mayat simati di Hospital Melaka pada hari yang sama dan tiada kecederaan fizikal dikesan pada badan si mati.

“Punca kematian adalah disebabkan bleeding duodenal ulcer (pendarahan dalam usus
kecil),” ujarnya.

Bagi satu lagi kes yang melibatkan kematian dalam tahanan,Skandaguru berkata, pada 22 Jun lalu, seorang lelaki tempatan berumur 42 tahun telah ditangkap di bawah seksyen 39b dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, OKT berkenaan ditahan di lokap Balai Polis Nibong Tebal, Ibu Pejabat Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, pada 26 Jun lalu jam 12.00 tengah hari OKT berkenaan telah mengadu sakit perut dan pada jam 1.30 tengah hari okt telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi mendapatkan rawatan awal menggunakan ambulans.

Malah katanya, OKT dihantar ke hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Tetapi pada 27 Jun lalu jam 1.54 pagi, pegawai perubatan Hospital Seberang Jaya telah mengesahkan OKT itu telah meninggal dunia dan hasil bedah siasat yang dijalankan
pada hari yang sama mendapati tiada sebarang kecederaan luaran fizikal dikesan.

“Punca kematian OKT adalah disebabkan massive upper gastrointestinal bleed with multiorgan failure and metabolic acidosis secondary to occult sepsis (pendarahan yang teruk pada salur pencernaan (bahagian atas) serta kegagalan beberapa fungsi organ utama dan ketidakstabilan metabolisma badan, akibat jangkitan kuman).

“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast