Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Datuk Mas Ermieyati Samsudin menafikan dakwaan beliau menyeleweng dana pilihan raya Puteri UMNO Malaysia ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyifatkan kenyataan pucuk pimpinan utama UMNO yang mengaitkan dirinya dengan tuduhan menggunakan dana sayap parti demi kepentingan peribadi sebagai satu perkara yang sengaja dicanang untuk memberi persepsi buruk terhadap dirinya.

Tegasnya, kenyataan tersebut tidak benar kerana penggunaan dana yang dimaksudkan telah diagihkan mengikut ketetapan melalui ketua puteri negeri dan ketua puteri bahagian seluruh negara untuk menjalankan program, aktiviti serta bertujuan untuk persediaan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya.

“Saya keluar UMNO secara rasmi pada 1 Julai 2018, selepas memikirkan saya hanya mampu berkhidmat kepada rakyat Masjid Tanah dengan lebih baik sekiranya saya bersama dengan kerajaan semasa, bukan sebaliknya,” katanya menerusi kenyataan.

Menuruit Mas Ermieyati, kenyataan-kenyataan yang dibuat adalah tidak berasas dan sengaja dibuat bagi mendatangkan persepsi buruk di mata masyarakat dan pengundi di kawasannya.

Ujarnya, tuduhan sama, telah dijawab sebelum ini iaitu ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri Melaka tempoh hari, selain dalam satu kes yang telah ditarik balik oleh pucuk pimpinan parti UMNO.

Katanya lagi, memandangkan keterangan dibuat di kandang saksi semasa keterangan bersumpah di mahkamah, beliau akan mengkaji lebih mendalam berkaitan perkara itu kerana ia perlu ditangani dengan serius dan tegas.

Semalam Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut menafikan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan yang mengatakan beliau menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang dikenali Tok Pa itu, semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan termasuk dana untuk pilihan raya.

Mustapa turut menafikan penyertaannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah bertujuan untuk mengelak daripada disiasat oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

Tok Pa nafi seleweng peruntukan UMNO Kelantan

1 Komen

  1. Haaa kalau setakat sangkal..semua orang boleh sangkal..SAMAN laaa kalau berani…pooodahhh

Comments are closed.