Keadaan treler yang menyeludup masuk pendatang yang tersadai di San Antonio, Texas. Foto Xinhua

HOUSTON – Gabenor Texas, Greg Abbott mengesahkan trak yang ditemui dengan 53 mayat pendatang asing tidak diperiksa oleh peronda sempadan walaupun ia melalui pusat pemeriksaan sempadan.

“Ia tidak diperiksa kerana peronda sempadan tidak mempunyai sumber manusia untuk dapat memeriksa semua trak,” kata Abbott.

Serentak itu, Abbott mengumumkan bahawa Jabatan Keselamatan Awam Texas akan menambah pusat pemeriksaan trak tambahan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, pusat pemeriksaan itu akan menyasarkan trak seperti yang digunakan dalam tragedi penyeludupan pendatang di San Antonio.

Kes yang berlaku di bandar Texas itu terbongkar pada petang Isnin kira-kira jam 5.50 petang. waktu tempatan, selepas seorang pekerja berhampiran terdengar jeritan meminta tolong.

Polis yang tiba telah membuka pintu treler dan menemui 46 mayat di dalamnya.

Mereka yang mati dipercayai akibat kepanasan kerana cuaca San Antonio yang tinggi sekarang ini.

Treler itu disejukkan tetapi tidak mempunyai pendingin hawa yang kelihatan berfungsi dan tiada air di dalamnya, menurut polis.

Seramai 16 orang – 12 dewasa dan empat kanak-kanak telah dibawa ke hospital kawasan tersebut selepas mengalami strok haba dan keletihan.

Tiada kematian membabitkan kanak-kanak setakat ini, tambahnya.

Ia merupakan insiden penyeludupan manusia paling maut dalam sejarah Amerika Syarikat.

Daripada 53 mayat dalam tahanan pejabat pemeriksa perubatan, 40 adalah lelaki dan 13 adalah wanita, kata Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Bexar pada hari Rabu

Rebeca Clay-Flores, Pesuruhjaya Daerah Bexar berkata, daripada jumlah itu terdapat beberapa mangsa yang dipercayai berusia di bawah 18 tahun.

Seramai 37 daripada mangsa mempunyai pengenalan diri.

Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat berkata, mangsa yang dikenal pasti setakat ini adalah dari Mexico, Guatemala dan Honduras.

Siasatan jenayah masih diteruskan kerana Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri terus berusaha untuk mengenal pasti semua mangsa.

Ia merupakan insiden penyeludupan manusia paling maut dalam sejarah AS, kata jurucakap HSI kepada ABC News pada hari Selasa. – ABC News