Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 10 Julai ini kepada keluarga penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Lawatan itu ditetapkan pada sambutan Hari Raya Aidiladha kedua dan ketiga dan keutamaan diberikan kepada penghuni yang beragama Islam.

Jabatan Penjara berkata, terdapat dua kaedah perjumpaan yang dibenarkan iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (online/ video call) yang mana kaedah perjumpaan secara dalam talian bermula pada 13 hingga 15 Julai 2022.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu waktu lawatan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan setiap ahli keluarga dikehendaki membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sample dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

“Selain itu, pelawat juga diminta membawa Kad Lawatan serta Kad Pengenalan bagi
memudahkan urusan dan pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni kerana makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara,” kata kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.

Katanya, sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.

“Setiap pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara.

“Seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarganya dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temujanji sahaja.

“Terdapat tiga (3) kaedah tempahan iaitu menerusi sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan ketiga menerusi E-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat, pelawat sila menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut sementara maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia: www.prison.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette