Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan (tiga kiri) serta Pengerusi A TECH Insure Sdn Bhd, Tan Sri Dr. Abu Kassim Mohamed (kiri) membuat gimik perasmian Pelancaran Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia di Hotel Marriot Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara kini boleh memperbaharui insurans dan cukai jalan kenderaan secara pantas menerusi Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan program pertama kali dilaksanakan untuk penjawat awam secara dalam talian yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA ) dan A Tech Insure Sdn Bhd.

Katanya, ia merupakan janji yang ditunai selepas pengumuman mengenainya dibuat pada 1 Mei lalu ketika sambutan Hari Pekerja 2022.

“Ia bercirikan kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.

“Penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.

“Bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Proghram Pembiayaan Insurans Kenderaaan Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, melalui program itu penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas dengan perlindungan insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit.

Malah beliau berkata, pembiayaan itu berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba.

“Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing.

“Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja boleh dinikmati oleh semua penjawat awam tetapi juga mereka yang bertaraf kontrak.

Tambahnya, penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak, layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi enam  peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.

Jelasnya, program itu turut diperluaskan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.

Katanya, ia membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Inisiatif itu tidak berorentasikan komersial semata-mata dan apa yang paling penting ia dapat membantu merealisasikan konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan, katanya.

Pada masa yang sama, kata beliau, usaha itu dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan. – MalaysiaGazette