Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa inflasi di Malaysia sepatutnya telah mencapai 11.4 peratus pada Mei lalu tanpa subsidi bukan suatu yang mengejutkan.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, apa yang membimbangkan ialah kerajaan Keluarga Malaysia telah memansuhkan subsidi beberapa makanan asas dan sedang mengkaji untuk merombak subsidi RON95 serta diesel.

“Apakah nasib rakyat jika lebih banyak subsidi dibuang dan pada masa sama GST pula diperkenalkan?

“Sebagai ganti, Perdana Menteri hanya mengumumkan bantuan tunai RM50 dan RM100 kepada rakyat miskin.

“Bayangkan, isi rumah berpendapatan RM2,501 dan mempunyai tiga anak hanya diberikan bantuan tambahan RM100 beserta BKM RM100 lagi pada Jun. Adakah ini mencukupi?,” soal beliau menerusi kenyataannya, di sini, hari ini.

Menurut Faiz, bagaimana pula dengan golongan M40 yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur yang berpendapatan RM5,001 dan mempunyai tiga anak?

Katanya, mengikut logik kerajaan, isi rumah M40 itu tidak layak menerima bantuan tunai.

“Apakah golongan M40 seperti ini harus dianak-tirikan?” katanya.

Beliau berkata, data Jabatan Perangkaan menunjukkan bakul barangan dan perkhidmatan bernilai RM500 pada Oktober 2018 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meningkat harganya kepada RM524.44 setakat Mei 2022.

“Andai kata cukai GST tidak dimansuhkan oleh PH, kos bakul ini pasti lebih mahal. Sebab itu, pemansuhan GST oleh PH adalah dasar yang tepat.

“Justeru, pengurusan fiskal negara yang lebih efisien tanpa ketirisan termasuk memastikan subsidi sampai ke golongan yang benar-benar memerlukan adalah satu langkah penting.

“Namun, usaha itu sama sekali tidak boleh merampas hak golongan yang memerlukan,” katanya.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan agar bantuan tunai yang menggantikan subsidi ditambah dan kerajaan harus mengkaji pengenalan sistem “digital food voucher” menerusi penggunaan kad pengenalan yang harus diperluas kepada isi rumah M40 bawahan atau “lower M40”.

Apatah lagi, katanya, dianggarkan lebih 600,000 golongan M40 telah tergelincir ke dalam golongan B40 sekarang.

Di samping itu, kata Faiz, bantuan yang diberikan harus mengambil kira saiz tanggungan dan kawasan yang didiami supaya lebih ramai rakyat dibantu berhadapan kos sara hidup yang tinggi.

“Adalah tidak logik jika isi rumah di Kampung Baru, Kuala Lumpur menerima bantuan RM100 sama seperti isi rumah di Marang, Terengganu.

“Ini kerana impak inflasi berbeza mengikut lokaliti dan kerajaan harus bertindak segera mengatasi masalah kos sara hidup ini yang merupakan sesuatu yang ‘real’,” katanya. – MalaysiaGazette