Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden rusuhan dan melakukan perbuatan khianat terhadap beberapa kereta yang diparkir di tepi Jalan Radin Bagus, Sri Petaling  baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua suspek merupakan warga tempatan itu berusia lingkungan antara 20 hingga 41 tahun dan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

“Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi dan telah direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan polis.

“Usaha untuk mengesan suspek yang masih bebas di luar masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru beliau meminta individu yang terbabit dalam insiden itu agar tampil untuk membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline IPD Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, pada 27 Jun lalu, satu rakaman video Tik Tok tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh dan melakukan khianat pecah cermin kereta terhadap beberapa kereta.- MalaysiaGazette