Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya mengambil berat terhadap ancaman Islamofobia yang merupakan agenda barat untuk mencetuskan perasaan benci terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya amat bimbang berhubung perkara itu kerana ia telah berleluasa di negara-negara tertentu hingga membawa kepada pertembungan kaum dan konflik berpanjangan.

Menurutnya, prasangka negatif terhadap Islam dan umat Islam semakin berleluasa dan sikap seperti itu perlu dihapuskan.

“Kami menyedari bahaya kempen yang disengajakan terutamanya oleh barat untuk mencipta penceritaan negatif terhadap Islam dan umat Islam ini.

“Islamophobia semakin mendapat tempat di banyak kerajaan yang bermusuhan dengan Islam. Tuduhan Islam sebagai ancaman dilakukan secara mendalam di negara-negara yang menganggap Islam sebagai cabaran yang merbahaya kepada tamadun barat moden,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, pengiktirafan terhadap Islamofobia telah dicerminkan di dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meluluskan resolusi mengisytiharkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamophobia dan telah diterima pakai sebulat suara.

Katanya, kebimbangan mendalam mengenai isu Islamofobia yang telah muncul sebagai bentuk perkauman baharu termasuk antara lain, larangan perjalanan yang bersifat diskriminatif, ucapan kebencian dan penyasaran terhadap pakaian gadis dan wanita Islam boleh menimbulkan ketegangan terhadap banyak komuniti etnik minoriti.

“Malaysia harus berganding bahu dengan Pakistan untuk membanteras kenyataan palsu dan provokasi terhadap Islam.

“Dengan banyaknya agensi Islam di Malaysia, kami menyeru agar usaha yang selaras dan kolektif untuk menangani maklumat salah dan salah faham tentang Islam dilaksanakan.

“Kami akan menganjurkan kempen berimpak tinggi dengan menggerakkan rakan kongsi NGO, cendekiawan, media dan agensi kerajaan untuk mendekati orang ramai dalam membetulkan pengaruh Islamofobia,” tambahnya. – MalaysiaGazette