Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada media selepas selesai menghadiri ke Program Jualan Amal Prihatin Rakyat Mydin di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa Bukit Angkasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki didakwa tidak sensitif apabila mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan seawal September atau Oktober ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, sepatutnya semua pihak pada waktu ini bekerjasama membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

“Datuk Asyraf seakan-akan tidak sensitif, rakyat sedang sengsara dengan harga minya, ayam tinggi, tapi dia nak PRU.

“Saya rasa ini hanya memikirkan periuk nasi sendiri, dia patut fikirkan periuk nasi rakyat dan kesan kepada rakyat kalau pada waktu ini semua pihak sedang berusaha untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, dapatkan semula kerja, mula nak bernafas, ini dia nak terus PRU, saya rasa tidak sesuai,” katanya ketika hadir Jualan Amal Prihatin Rakyat Mydin di Dewan Terbuka Dataran Seri Angkasa, Taman Bukit Angkasa.

Jelas Fahmi, Asyraf sepatutnya menghormati proses membuat keputusan pembubaran Parlimen perlu melalui Jemaah Menteri dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Jadi jangan melangkaui proses, jangan lebih sudu dari kuah, itu nasihat saya,” beliau berkata.

Semalam, Asyraf meramalkan PRU-15 mungkin diadakan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan daripada sekarang, berdasarkan keperluan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha menstabilkan kerajaan.

Sementara itu Fahmi berpendirian, masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya  pada pertengahan tahun depan selepas mempertimbangkan kesan ekonomi rakyat dan gelombang Covid-19 yang berkemungkinan melanda negara seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

“Mungkin kita kena tunggu dua suku untuk lihat kerana keadaan ekonomi rakyat dan pandemik

“Saya risau dengan pengumuman Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) tentang kemungkinan berlaku gelombang Covid-19 baharu dan kita juga nak tahu kesan pengurangan subsidi kepada ekonomi rakyat. Mungkin awal tahun depan atau pertengahan tahun depan saya rasa itu sesuai,” tambahnya.

Mengulas lanjut Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR) itu berkata, Pakatan Harapan bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya.

Walau bagaimanapun, beliau berseloroh mempersoalkan kesediaan UMNO yang belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas meminda perlembagaan parti baru-baru ini untuk menunda pemilihan.

“Saya lihat kami makin bersedia untuk menghadapi PRU-15, saya tidak pasti bagi UMNO macam mana. Keputusan RoS untuk mereka saya rasa mungkin Datuk Asyraf boleh fikirkan perkara itu daripada mahukan PRU, mungkin dia perlu hadap pemilihan partinya sendiri,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Asraf mcm2 dia perjuangkan untuk rakyat termasuklah mendapatkan pengeluaran KWSP…yg kau buat apa? membodek Bang Non jer yg kau tau

Comments are closed.