Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional Sabah di Kota Kinabalu.

KUALA LUMPUR – Agenda pembangunan baharu Sabah akan menjadi keutamaan Barisan Nasional (BN) jika komponen parti itu mendapat mandat besar di Sabah dan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rekod menunjukkan tempoh Sabah menjadi paling maju dalam semua aspek sosio-ekonomi adalah sewaktu Sabah di bawah pemerintahan Sabah Alliance selama 12 tahun dan Barisan Nasional selama 24 tahun.

Ini adalah hasil daripada kedinamikan politik Sabah dan ini perlu difahami dengan baik kerana di dalam kedinamikan itu, lahir Sabah yang maju kerana wujudnya kestabilan.

”Malah tidak salah untuk saya menyebutkan sebagai contoh, sepanjang tempoh 15 tahun Sabah di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang diterajui oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman selaku Ketua Menteri, politik Sabah sungguh stabil, dan di bawah kepimpinan beliau, Sabah berjaya dibangunkan dengan pesat.

”Politik ketika itu amat stabil, pembangunan negeri lebih merata, kemudahan-kemudahan infrastruktur, jalan, air, bekalan elektrik luar bandar dinikmati di seluruh pelusuk termasuk di pedalaman. Pendidikan anak negeri diperkasa. Antara buktinya adalah Universiti Malaysia Sabah telah ditubuhkan.

“Justeru, saya percaya, orang-orang Sabah amat rindukan kepada kestabilan dan saya juga percaya semua kita tahu bahawa kestabilan hanya boleh dicapai melalui kerajaan yang kuat dan kukuh,” katanya ketika berucap di majlis penutup Konvensyen BN Sabah hari ini.

Beliau berkata, sepanjang BN memerintah di Sabah, gabungan parti politik itu telah berjaya memenuhi tuntutan MA63 bagi mengekalkan kestabilan yang berpanjangan.

Malah pada zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, banyak penurunan kuasa telah diberikan kepada Sabah namun apabila kuasa terlepas pada 2018 telah menyebabkan usaha-usaha hebat tersebut terencat.

Antara yang utama, pada waktu itu pembinaan Pan-Borneo Highway.

”Lebuh raya ini dirancang untuk menjadi nadi utama kepada pembangunan Sabah, dengan menyambungkan sebanyak mungkin penempatan penduduk bagi membolehkan mereka untuk turut serta dalam kepesatan ekonomi negara.

“Kita hubungkan Sindumin ke Simpang Mengayau di Barat, dan kita hubungkan Ranau dengan Tawau di Timur. Pan-Borneo Highway adalah pembangunan untuk mensejahterakan rakyat Sabah. Malangnya projek ini telah diganggu oleh Kerajaan 22 bulan.

“Jelaslah, tanpa kestabilan, ekonomi sukar berkembang. Tanpa kestabilan mencari rezeki tidak senang. Tanpa kestabilan hidup rakyat tidak tenang,” katanya sambil memberi jaminan akan menyambung semula pembangunan ekonomi yang terkandas jika menang besar di Sabah dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Ahmad Zahid berkata, agenda pembangunan baharu Sabah yang akan diberi tumpuan ialah membangunkan potensi ekonomi pelancongan maritim dan kedua membangunkan negeri itu dengan mengambil kira rancangan pembinaan ibu kota Indonesia yang baharu di Kalimantan.

BN Sabah akan membangunkan potensi ekonomi maritim dengan terlebih dahulu memperkasa infrastruktur yang tidak lengkap dan usang, memperkukuh kawalan keselamatan terutama sekali keselamatan sempadan di pesisir pantai Sabah, dan juga perebutan wilayah dan tuntutan beberapa kawasan di perairan Laut Cina Selatan.

Jelasnya, semua perkara tersebut perlu diselesaikan bagi memberikan keyakinan kepada sektor swasta untuk terus melabur dalam ekonomi maritim di Sabah.

Menurut beliau, Sabah juga perlu merebut peluang limpahan ekonomi daripada pembinaan Nusantara, ibu kota baharu Indonesia yang terletak di Kalimantan yang fasa pertama akan siap pada 2024 dan sepenuhnya pada 2045.

“Sabah harus merebut peluang limpahan ekonomi daripada pembinaan ibu kota ini, dengan membangunkan lebih banyak infrastruktur di kawasan sempadan, terutamanya di Tawau dan Lahad Datu, Sebatik dan Kalabakan. Di sebelah Kalimantan Indonesia, mereka telah membina sekitar 1,700KM jalan. Di sebelah Simanggaris Indonesia, mereka telah membina infrastruktur seperti CIQ dan jalan yang lengkap.

”Bagaimana pula di sebelah kita? Jika kita cepat, kita dapat banyak manfaat. Jika kita lembab, orang lain akan ambil peluang itu. Jika Indonesia boleh, kenapa tidak Sabah?,” ujarnya. – MalaysiaGazette