MELAKA – Pemilik unit kediaman yang menjalankan khidmat sewaan premis boleh dikenakan tindakan sekiranya penyewa mereka didapati terlibat dalam kegiatan jenayah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tindakan itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada kesalahan mudah dikesan antaranya dadah ataupun perjudiaan  berbanding kesalahan lain.

Menurutnya, sebagai pemilik dalam rantaian perkhidmatan hospitaliti dalam talian, kumpulan itu juga mempunyai peranan untuk membantu polis dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri ini.

“Kalau berlaku aktiviti haram oleh penyewa, pemilik unit kediaman boleh dikenakan tindakan sebab itu kalau nak sewakan kepada orang, kena tahulah apa kegiatan dia buat.

“Tapi itu (tindakan) bergantung pada kes, macam rogol ke yang berlaku antara lelaki dan perempuan ia boleh berlaku di mana-mana dan pemilik tak bolehlah kita nak kenakan tindakan.

“Cuma kalau ia libatkan aktiviti haram lain macam dadah atau perjudian, itu pemilik boleh kena tindakan bergantung pada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran program “Say No
To Crime, Safety Awareness and Panic Button” yang dirasmikan Exco Pembangunan Belia, Sukan Dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam, di Pusat Beli Belah Mahkota Parade, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zainol berkata, sebagai pemilik unit perkhidmatan hospitaliti itu, mereka perlu peka terhadap persekitaran untuk membantu polis mengurangkan kes jenayah.

“Mungkin kalau dah sewakan unit tu, sesekali kenalah pergi tengok apa yang berlaku walaupun ia telah disewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan polis Melaka yang menahan seorang lelaki berusia 39 tahun pada 25 Jun lalu selepas disyaki melarikan pelajar perempuan berusia 13 tahun di depan sekolah di Klang dan merogolnya di rumah disewanya di Melaka.

Sementara itu, program itu menyaksikan sebanyak 71 butang kecemasan dipasang di pusat beli belah berkenaan bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Zainol berkata, pemasangan peranti pintar itu dilihat mampu membantu mempercepatkan bantuan pihak polis tiba sekiranya jenayah berlaku dalam bangunan itu.

“Dengan menekan ‘panic button’ ini sekiranya berlaku kejadian jenayah maklumat akan terus diterima pihak keselamatan sebelum ia dilaporkan kepada polis untuk terus ke di lokasi kejadian,” katanya. – Malaysia Gazette