Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Timbalan Presiden MTUC, Mohd Affendy Abdul Ghani bergambar kenangan dengan sebahagian perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke 42 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai Ahli Lembaga Pengarah mereka sebagai usaha menambah nilai kepada ketelusan.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah.

Jelas beliau, sudah menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

“Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara.

“Kepentingan kaum pekerja dan negara perlu diselaraskan dan semua sikap tidak bertanggungjawab dikikis.

“Ini kerana ia bukan sahaja menjejaskan kepentingan kaum pekerja, malah turut mengganggu sistem masyarakat dan menghalang usaha mencapai perhubungan industri yang harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan MTUC 2022 kali ke-42 di Universiti Malaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan.

Persidangan itu akan menyaksikan pemilihan peneraju baharu kongres kesatuan sekerja bagi penggal 2023-2025.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC untuk melaksanakan program-program kesedaran dan latihan yang signifikan.

Menurutnya, geran itu juga dapat mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif dan komprehensif kepada ahli-ahli kesatuan gabungan di bawahnya serta diperluas kepada golongan pekerja Keluarga Malaysia yang lain.

Beliau yakin melalui pelan-pelan pendidikan yang strategik, MTUC boleh terus memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan pekerja yang dinamik.

“Sebagai badan induk yang memperjuangkan hak dan nasib pekerja, MTUC juga perlu prihatin terhadap keperluan ahli-ahli kesatuan khusus yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar.

“Pendekatan Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan tidak ada seorang pun ahli keluarga kita hidup melarat.

“Saya memahami keadaan ini kerana asal usul saya dikelilingi dengan kemiskinan.

“Oleh itu, saya dengan rendah hati mengajak semua pemimpin dan ahli kesatuan untuk turut bersama saya menjayakan visi Keluarga Malaysia, sekali gus bersama-sama membangunkan negara tercinta ini,” katanya. – MalaysiaGazette