Pemain perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen menjuarai kemenangan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 sewaktu menentang pemain perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota pada perlawanan pusingan akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen menzahirkan perasaan teruja dan gembira apabila akhirnya berjaya menamatkan penantian kejuaraan badminton Terbuka Malaysia sejak penampilan sulungnya 10 tahun lalu.

Dalam tempoh penantian itu, pemain Denmark berusia 28 tahun itu berjaya mengumpul gelaran dunia, Olimpik, All England sebanyak dua kali serta Masters Malaysia namun gelaran Terbuka Malaysia masih gagal menjadi miliknya.

Selepas tersingkir seawal pusingan pertama dalam empat percubaan pertama (2012-2015), pencapaian terbaik Axelsen ialah mara ke suku akhir sebanyak tiga kali (2016, 2018, 2019).

“Ini adalah gelaran yangn dinanti-nantikan selama ini. Ia sangat penting bagi diri dan sangat gembira untuk memenanginya hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengatasi pemain nombor dua dunia dari Jepun, Kento Momota, 21-4, 21-7, dalam masa 34 minit sahaja pada final.

Axelsen juga mengakui bahawa pengalaman bertarung engan legenda seperti Datuk Lee Chong Wei dari Malaysia, Chen Long dan Lin Dan dari China pada masa lalu, telah membantunya meningkatkan tahap permainannya untuk menjadi antara yang terbaik dalam sukan itu sekarang.

“Saya masih ingat menentang Chong Wei di dewan ini dan saya tewas 8-21, 10-21 dalam masa 26 minit. Ia merupakan pengalaman yang baik untuk saya. Bermain perlawanan besar dengan legenda, jelas ia memberi saya banyak pengalaman serta mendapat banyak pengajaran,” katanya.

“Saya agak terkejut dengan tahap prestasi dan perlawanan akhir ini. Memang teruja untuk menentang pemain hebat seperti Momota dalam satu lagi final utama namun dia tidak selesa dengan corak permainan saya,” katanya mengulas kemenangannya sambil menambah beliau belum membuat keputusan untuk beraksi pada Masters Malaysia, di venue sama, mulai Selasa ini.

Sementara itu, Momota mengakui prestasi Axelsen jauh lebih hebat dan di luar jangkaannya dan beliau sukar mengawal permainan dalam suasana dewan dan sorakan penonton yang begitu ramai.

“Bagaimanapun, saya telah memperoleh beberapa input positif dan pengalaman bermain dalam suasana seperti ini membantu untuk lebih bersedia menghadapi situasi di venue ini pada Masters Malaysia nanti,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast