Fahmi Bazlan

SHAH ALAM – Penghapusan subsidi minyak masak berbotol yang berkuatkuasa Jumaat lalu bukan masa yang sesuai dilakukan kerajaan.

Ini kerana, kata Yang Dipertua Berjasa Shah Alam, Fahmi Bazlan Muda, ketika ini rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi akibat daripada kenaikan barang keperluan asas.

Katanya, dalam keadaan rakyat hilang arah untuk mencari sumber pendapatan, tiba-tiba kerajaan bebankan lagi mereka dengan penghapusan subsidi minyak masak.

“Ia suatu yang sangat malang dan membebankan rakyat, lebih lagi subsidi minyak paket yang diberikan sebelum ini sebenarnya tidak mencukupi.

“Kalau kita pergi ke pasar raya dan kedai runcit pun, kita tidak akan jumpa minyak masak paket yang bersubsidi.

“Jadi, macam mana kerajaan boleh katakan subsidi minyak masak paket tidak menjadi masalah, malah dikatakan mencukupi,” katanya kepada media pada majlis Kendurian Berjasa Shah Alam semalam.

Kira-kira 500 masyarakat setempat termasuk ahli baharu Parti Berjasa hadir pada program itu.

Menurut Fahmi Bazlan, tinjauan di seluruh Selangor mendapati minyak masak paket tidak mencukupi sehingga kebanyakan masyarakat tidak mempunyai pilihan, terpaksa bergantung kepada minyak masak dalam botol.

Ini, tegas beliau, suatu yang sangat mengejutkan dan memberi kesan kepada semua produk berasaskan makanan yang akan dijual dengan harga melambung tinggi selepas ini.

“Kita kena ingat minyak masak dan bahan api petrol adalah suatu yang melibatkan kos.

“Apabila diserapkan dalam keperluan asas, ia bukan sahaja memberi kesan kepada bahan api itu, malah kepada semua produk lain termasuk makanan di restoran yang menggunakan minyak masak.

“Beban ini akan ditanggung oleh masyarakat yang saya yakin jika dilihat pada inflasi jurang antara pendapatan minimum dan juga kenaikan harga memang sangat menakutkan kita,” katanya.

Beliau berharap, ada sesuatu difikirkan oleh kerajaan yang lebih berbaloi dengan mengambil beberapa tindakan segera bagi memastikan keresahan rakyat dapat diredakan.

Mengenai Kendurian Shah Alam, Fahmi Bazlan berkata, program itu sedikit sebanyak dapat menggabungkan masyarakat setempat dengan anggota Berjasa kawasan itu, negeri dan pusat khususnya.

Seorang ahli Berjasa Shah Alam membuat persiapan untuk orang ramai makan durian yang dibekalkan kira-kira 1,000 kilogram dalam Kendurian Shah Alam, semalam.

Katanya, sebanyak 1,000 kilogram durian dari Batu Kurau, Perak disediakan kepada masyarakat sekitar secara percuma.

“Ini antara beberapa program kemasyarakatan yang kita rancang, manakala petang Ahad (hari ini), kita bersama dengan masyarakat Shah Alam menonton filem pahlawan Mat Kilau.

“Malam tadi pula, kita adakan perlawanan persahabatan bola sepak bersama anak muda Berjasa FC dan minggu depan sempena Aidiladha kita adakan majlis korban bersama masyarakat di Seksyen 7, Shah Alam.

“Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk menterjemahkan bahawa Berjasa serius dan bersungguh-sungguh memastikan perjuangan parti akan menjadi sebuah perjuangan yang mendapat sambutan masyarakat,” katanya.

Kata beliau, perjuangan parti itu bukan sekadar PRU-15 tetapi akan terus mengorak langkah dan menjadi sebahagian daripada kepimpinan negara pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast