Pemain beregu lelaki Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi menjuarai kemenangan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 sewaktu menentang pemain beregu lelaki Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto pada perlawanan pusingan akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ,03 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Juara dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi terselamat dalam pertarungan set penentuan berhadapan beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto untuk menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia buat julung kali di sini hari ini.

Kedua-dua wakil Jepun itu mempamerkan aksi hebat dalam pertarungan sengit set pertama yang membuatkan para peminat yang menyaksikan perlawanan akhir itu di Arena Axiata di sini teruja dan menumpukan sepenuh perhatian sebelum Hoki-Kobayashi mengatasi beregu Indonesia itu 24-22.

Bagaimanapun, tiba giliran Fajar-Muhammad Rian bangkit memenangi set seterusnya apabila mereka meningkatkan gaya dan taktik permainan untuk menundukkan lawan mereka 21-16.

Dalam set penentuan ia merupakan pertarungan sengit sehingga kedudukan mata 5-5 tetapi selepas itu Hoki-Kobayashi terus menguasai permainan untuk memenanginya dengan keputusan 21-9.

Hoki-Kobayashi merupakan beregu kedua Jepun merangkul kejuaraan itu selepas Takeshi Kamura-Keigo Sonoda memenanginya pada edisi 2018 selepas menewaskan beregu senegara Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe, 21-8, 21-10.

Sementara itu, Hoki mengakui ia merupakan kejayaan manis buat mereka yang berada di ranking nombor dua dunia untuk muncul juara dalam kejohanan ini buat julung kalinya dan menyasarkan untuk menumbangkan beregu nombor satu dunia pada masa ini Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia untuk berada di puncak ranking dunia seterusnya.

Beliau juga berharap untuk mengekalkan prestasi hebat mereka menjelang Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di tanah air mereka yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 28 Ogos ini.

Oleh itu, Hoki berkata mereka akan berhati-hati dalam menghadapi cabaran daripada pasangan lain yang mahu merampas gelaran Juara Dunia itu daripada genggaman mereka.

“Kami akan menggunakan minggu-minggu selepas ini untuk memperhalusi dan lebih bersedia untuk Kejohanan Dunia,” kata beliau.- BERNAMA