Dr. Mohamad Khir Toyo

SEKINCHAN – Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo didakwa tidak pernah memohon maaf secara terbuka kepada semua ahli UMNO selepas parti itu dan Barisan Nasional (BN) tewas di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, lebih malang apabila Dr Khir tidak pernah mengakui kesilapannya yang menyebabkan BN gagal membentuk kerajaan sehingga ke hari ini.

“Seingat saya sejak UMNO kalah di Selangor pada 2008 hingga ke hari ini, Dr. Khir tak pernah pun minta maaf kepada seluruh ahli UMNO dan rakyat di Selangor ketika era beliau menjadi Menteri Besar,” katanya di sini hari ini.

Oleh kerana itu, Jamal berkata, sudah sampai masanya bekas Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu menebus dosa silamnya dengan mencurahkan pengalaman beliau kepada pemimpin-pemimpin baharu di Selangor.

“Saya menasihatkan beliau menggunakan pengalaman selama lapan tahun menjadi Menteri Besar untuk membantu kepimpinan UMNO di Selangor dan Sungai Besar.

“Dr. Khir sepatutnya memberikan suntikan semangat dan segala-galanya untuk menebus kembali dosa yang dia telah buat sehingga UMNO kalah di Selangor.

“Sekarang waktu paling sesuai beliau menggunakan segala keupayaan, pengalaman, tenaga dan wang ringgit untuk menebus kembali kekalahan tersebut dan membantu UMNO,” katanya.

Sebaliknya Dr. Khir diingatkan tidak terburu-buru mengejar semula cita-cita politiknya termasuk mahu kembali ke persada politik bagi merebut jawatan dalam parti semata-mata.

“Saya menyarankan Dr. Khir ini supaya membantu Selangor dan Pusat untuk memperkuatkan lagi UMNO dan bukannya mengucar-kacirkan perpaduan UMNO di Selangor dan Sungai Besar ini.

“Apa maknanya kalau beliau nak berebut jawatan Ketua UMNO Bahagian, saya pun tiada masalah tapi Selangor tiada kuasa, Pusat pun tiada kuasa dan Sungai Besar tak dapat menyumbang untuk satu kerusi bagi membentuk kerajaan pusat,” katanya.

Dr. Khir perlu mencontohi sikap terbuka bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sanggup melepaskan semua jawatan politiknya selepas tewas dalam PRU-14 lalu.

“Saya amat tertarik Datuk Seri Shabery Cheek apabila beliau kalah bertanding pada PRU-14 di Terengganu, beliau secara sukarela melepaskan semua jawatan dan tidak bertanding.

“Akhirnya UMNO bahagian pun melantik beliau sebagai ahli jawatankuasa biasa tapi beliau mencurahkan pengalaman dan khidmat beliau untuk membantu BN seluruh negara.

“Ramai pemimpin UMNO pun begitu, seharusnya Khir Toyo ini berjiwa besar ke arah itu, bagi saya cukuplah lapan tahun jadi menteri besar, pernah duduk sebagai Majlis Tertinggi UMNO, tak perlu merangkak balik menjatuhkan martabat dan maruah sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette