Liew Chin Tong
Liew Chin Tong

JOHOR BAHRU – Tindakan Pemimpin Pembangkang Johor, Liew Chin Tong mengumumkan dirinya akan bertanding di satu kawasan Parlimen telah mengundang kritikan.

Chin Tong yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling telah mengumumkan bahawa dirinya akan bertanding di salah satu kawasan Parlimen.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu bagaimanapun memberitahu bahawa belum ditentukan sama ada beliau akan bertanding di Iskandar Puteri yang pada masa ini dipegang oleh veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Ini bukan soal pilihan perseorangan, tetapi keputusan bertanding ditentukan oleh strategi kepimpinan pusat dan negeri, rundingan antara ahli Pakatan Harapan dan pencaturan secara keseluruhannya,” katanya seperti dipetik Nanyang Siang Pau.

Pengumumannya untuk bertanding di kerusi Parlimen bagaimanapun mengundang kritikan seorang veteran DAP iaitu Exco Kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, Chang Khim membayangkan pengumuman persendirian itu menunjukkan seseorang mempunyai “sokongan belakang” yang kuat.

Chang Khim berkata, beliau tidak boleh bertoleransi kerana calon pilihan raya selalunya ditentukan oleh jawatankuasa khas dalam kepimpinan pusat, bukannya diumumkan secara perseorangan sebelum keputusan dibuat.

Beliau justeru mempertikaikan sama ada Chin Tong mempunyai “sokongan kuat di belakang” dan sama ada jawatankuasa mengenai penentuan calon merupakan satu “penipuan.”

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dipetik Sinchew Daily sebagai berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan calon kerana nama berkenaan hanya akan dimuktamadkan secara rasmi selepas pembubaran Parlimen. – MalaysiaGazette