Datuk Mahfuz Omar

IPOH – Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai parti mana yang akan bertanding di kawasan-kawasan pilihan raya yang pernah ditandingi oleh parti Bersatu, pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) nanti.

Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar berkata parti Amanah, PKR dan DAP akan mengadakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi bagi kawasan-kawasan berkenaan, dan keputusan akan diumumkan setelah kesepakatan dicapai.

“Kerusi Bersatu itu akan dibincang untuk pengagihan dalam PH, dan ia masih belum dimuktamadkan lagi,” katanya pada sidang media Konvensyen Parti Amanah Negara Negeri Perak di sini hari ini.

Pada PRU14 lepas Bersatu yang menganggotai PH bertanding bagi merebut 52 kerusi parlimen dan berjaya memenangi 13 daripadanya, namun ia kemudiannya meninggalkan PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN).- BERNAMA