Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 Kota Sepanggar, Sabah kelmarin.

KUALA LUMPUR – Penyerahan tiga buah Helikopter AW139 dan penubuhan Skuadron 503 dilihat dapat memperkukuhkan pertahanan maritim Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, selain meningkatkan kecekapan pengoperasian Helikopter Operasi Maritim (HOM), skuadron baharu ditubuhkan itu berperanan memantau zon maritim negara.

Bukan itu sahaja, Skuadron 503 juga akan melaksanakan tugas-tugas sekunder merangkumi tugas membantu Operasi Mencari dan Menyelamat; membantu misi Medical Evacuation (Medevac) dan Casualties Evacuation (Casevac) serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

“Sebagai permulaan, Skuadron 503 ini akan beroperasi dengan kekuatan seramai 25 pegawai dan 92 anggota lain-lain pangkat (LLP).

“Kesemua mereka telah diberikan penugasan khusus di empat bahagian termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan; Bahagian Operasi dan Latihan; Bahagian Pentadbiran dan Logistik serta Bahagian Kejuruteraan Udara,” katanya.

Skuadron 503 akan berada di bawah perintah operasi Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 Kota Sepanggar, Sabah kelmarin.

Pada majlis yang sama, Hishammuddin juga menyaksikan penyerahan Helikopter AW139 kepada TLDM yang merupakan aset terbaru TLDM khusus bagi meningkatkan keupayaan operasi TLDM terutama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

Secara keseluruhan, pembelian yang dibuat ialah sebanyak tiga buah dan dua daripadanya diterima dan diserahkan kelmarin manakala sebuah lagi dijangka sampai pada September ini.

Mengenai helikopter yang sama, Hishammuddin berkata, pembeliannya dibuat berpandukan kehendak end user sendiriiaitu TLDM yang amat memerlukan aset tersebut.

“Keberadaan aset-aset baharu seperti Helikopter AW139 ini juga merupakan salah satu usaha yang berupaya mengekalkanmoral dan semangat para anggota ATM khususnya TLDM untuk melaksanakan penugasan operasi yang sentiasa mencabar,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kementerian juga akan menyediakan infrastruktur teknikal tambahan di hangar Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dengan adanya helikopter berkenaan.

Hishammuddin juga menegaskan pihaknya bersedia untuk membeli Kapal LMS kumpulan kedua selepas empat buah dibeli pada Januari lalu.

“Empat buah ini permulaan yang baik namun saya faham ia belum mencukupi. Saya tahu TLDM perlukan lebih banyak lagi. Sebab itu hari ini saya hendak beritahu sekali lagi, saya telah bincang secara terperinci dengan Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Laut tentang pembelian Kapal LMS batch kedua.

“Pihak kementerian telah pun membuat permohonan untuk melaksanakan perolehan ini,” katanya.

Selain LMS, katanya, TLDM juga sangat memerlukan Kapal Littoral Combat Ship (LCS).

“Sebab itu, menyelesaikan isu yang membelenggu projek LCS ini menjadi antara keutamaan saya sejak kembali ke MINDEF. Bukan mudah – saya bersama kepimpinan MINDEF dan TLDM perlu berdepan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan turut beberapa kali membentangkan perancangan projek LCS ini kepada Kabinet.

“Alhamdulillah, Kabinet telah bersetuju agar projek perolehan LCS diteruskan. Sekarang ia telah memasuki prosesimobilisasi selama enam bulan seperti disarankan oleh Kabinet.

“Rundingan dengan pihak OEM dan vendor sedang giat dilaksanakan untuk memastikan projek ini kembali kelandasannya.

“Insya-Allah, sebaik sahaja proses mobilisasi selesai, pembinaan fizikal kapal LCS ini akan bersambung semuladalam masa terdekat,” katanya. –

—MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast