Seorang wanita menjalani ujian saringan susulan peningkatan kes Covid-19 di Beijing. - Foto Getty Images

BEIJING – China telah meletakkan 1.7 juta orang di bawah perintah berkurung di wilayah Anhui selepas hampir 300 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan.

Wilayah itu melaporkan 287 jangkitan baharu pada hari Isnin, termasuk 258 orang yang tidak mempunyai simptom, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, menjadikan jumlah kes yang disahkan lebih 1,000.

Dua daerah di wilayah itu – Sixian dan Lingbi – mengumumkan perintah sekatan minggu lalu, dengan lebih daripada 1.7 juta penduduk hanya dibenarkan meninggalkan rumah mereka jika mereka menjalani ujian saringan.

Rakaman stesen CCTV menunjukkan jalan kosong di Sixian pada hujung minggu dan orang ramai berbaris untuk ujian saringan besar-besaran pusingan keenam.

Gabenor wilayah Wang Qingxian menggesa pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan saringan pantas serta kuarantin dan pelaporan kes, dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh kerajaan Anhui pada hari Isnin.

Wilayah Jiangsu yang berjiran juga melaporkan 56 jangkitan tempatan baharu di empat bandar pada Isnin.

Wabak di Anhui kali pertama dikesan dengan ratusan kes minggu lalu ketika ekonomi China mula pulih daripada sekatan berbulan-bulan di Shanghai dan Beijing.

Walaupun kes kekal rendah berbanding populasi besar China, pegawai kesihatan menegaskan dasar sifar Covid-19 adalah perlu untuk mencegah malapetaka berlaku. – TRT