Gambar hiasan - Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2021.

ALOR SETAR – Umat Islam di Kedah yang akan melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha perlu mendapatkan permit penyembelihan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi mengelakkan dikenakan kompaun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Datuk Azman Nasrudin berkata, langkah itu bagi memastikan ternakan yang sihat saja disembelih.

Jelas beliau, ia secara tidak langsung mengurangkan risiko kejadian wabak penyakit ternakan selepas musim perayaan.

Azman.

Tegas Azman, kegagalan mendaftarkan ternakan adalah kesalahan mengikut Enakmen Pendaftaran Kerbau Lembu Negeri Kedah (pindaan pertama 1990) dan boleh dikompaun tidak melebihi RM300.

“Orang ramai yang berhasrat melaksanakan ibadah korban mesti mematuhi peraturan ditetapkan dan membuat permohonan pendaftaran penyembelihan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berhampiran.

JPV Kedah telah menyediakan prosedur permohonan untuk pelaksanaan ibadah korban selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi kemudahan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Carta aliran permohonan ibadah korban di Kedah.

Mengulas lanjut Azman berkata, mereka yang melakukan pemindahan ternakan lembu, kerbau, kambing dan bebiri tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar atau Pihak Berkuasa Veterinar juga boleh diambil tindakan mengikut Akta Binatang 1953 (pindaan 2013) dan denda tidak lebih RM15,000.

“Kita memohon kerjasama semua pihak yang berhasrat melaksanakan ibadah korban membuat pendaftaran ternakan dan mendapat kebenaran pemindahan ternakan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar daerah selewat-lewatnya Khamis ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette