Special Branch defamation suit pontianak false claims

TUJUAN utama hukuman dikenakan ke atas pesalah, sama ada kes-kes sivil atau pun kes-kes jenayah adalah untuk mendidik pesalah dan juga masyarakat agar menghormati hak-hak orang lain dan juga undang-undang yang sedia ada. Selain daripada mendidik, hukuman dikenakan ke atas pesalah adalah bertujuan untuk “menghukum”atas perbuatan yang dibuat oleh pesalah ke atas mangsa terutama hukuman mati terutama di dalam kes-kes jenayah. Dengan kata lain, hukuman mati tidak lagi dapat mendidik pesalah secara zahir tetapi lebih kepada mendidik masayarakat serta mencegah orang lain agar tidak meniru kesalahan yang telah dibuat oleh pesalah yang telah pun menerima hukuman mati.

Di dalam undang-undang jenayah Islam, ada beberapa kesalahan jenayah yang telah diberi peruntukan oleh shara’ untuk dikenakan hukauman mati. Kesalahan2 tersebut adalah penzina muhsan ( yang sudah berkahwin), keluar daripada agama Islam ( riddah), Muharib yang telah membunuh mangsa, pemberontak ( al bughoh) kerajaan dan pembunuh yang membunuh dengan sengaja.

Hanya dua kesalahan yang mana hukuman mati adalah hukuman mandatori iaitu penzina muhsan dan muharib yang telah membunuh mangsa. Manakala untuk al Bughoh, istilah hukuman yang tepat adalah diperangi yang mana ianya berkemungkinan besar akan berakhir dengan kematian juga. Dua lagi kesalahan iaitu riddah dan membunuh dengan sengaja, hukuman mati dalam kedua-dua kesalahan ini adalah bukan bersifat hukuman mandatori.

Kesalahan riddah tidak dikenakan hukuman mati jika pesalah ( murtad) tadi telah pun bertaubat dan kembali kepada agama Islam. Konsep istitabah iaitu konsept memujuk pesalah murtad untuk kembali kepada agama Islam adalah satu bentuk prosedur yang wajib dilakukan oleh Mahkamah dan perlu termaktub dalam undang-undang. Dalam kes pembunuhan sengaja, si pesalah telah dimaafkan oleh keluarga mangsa maka hukuman bunuh tadi boleh diganti dengan hukuman gantian seperti diat, kaffarah atau pun ta’zir.

Perlu diingatkan juga tentang pembuktian yang sangat teliti dan mencapai tahap keyakinan yang paling tinggi sebelum hukuman mati dapat dijatuhkan ke atas pesalah. Malah jika pesalah didapati bersalah dengan cara pembuktian iaitu iqrar tetapi sebelum hukuman mati dilaksanakan, pesalah ingin menarik balik iqrar tersebut maka hukuman mati tadi tidak dapat dijalankan ke atas si pesalah dan diganti dengan hukuman gantian atau pun ta’zir. Begitu ketat sekali pembuktian dalam undang-undang Islam dalam kesalahan hudud dan qisas sehingga boleh disimpulkan bahawa hukuman hudud dalam Islam adalah cara yang terakhir untuk menghukum pesalah dan kebanyakannya mungkin berakhir dengan hukuman gantian mahu pun hukuman takzir sahaja.

Baru-baru ini kabinet telah membuat keputusan untuk menarik balik hukuman mati yang bersifat mandatori dalam beberapa kesalahan jenayah di Malaysia. Cadangan ini adalah sangat dialu-alukan bukan sahaja kerana ia bersifat ruh Shari’iyyah tetapi juga merupakan transformasi pentadbiran sistem keadilan jenayah di Malaysia ke arah lebih bersifat kemanusiaan dan memberi peluang kepada pesalah yang mungkin telah insaf atas apa yang berlaku sebelum ini.

Satu nilai penting yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan ialah bagaimana untuk melibatkan keluarga mangsa dalam sistem keadilan jenayah agar mereka juga diberi hak untuk dalam proses keadilan dan hukuman ke atas pesalah. Perlu diingatkan juga bahawa hukuman mati juga patut kekal dalam sistem undang-undang jenayah di Malaysia dalam sesetengah kesalahan seperti membunuh dengan niat serta terancang dan kes pembunuhan yang mana mangsa dirompak, dirogol dan dibunuh dengan kejam kerana maslahah ummah dan melindungi jiwa, tanpa mengira agama dan bangsa, adalah keutamaan dalam agama dan negara.

Ramizah Wan Muhammad (Ph.D)
Jabatan Undang-Undang Islam
Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast