Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan prosiding bela diri dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi miliknya.

Bekas Timbalan Perdana menteri itu mahu menangguhkan pasukan pendakwaan daripada terus menyoal balas ke atas beliau sementara menunggu keputusan rayuan yang dipohonnya bagi mendapatkan salinan keterangan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diputuskan Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, beliau mendapati tiada keadaan khas bagi membenarkan permohonan itu diterima.

Jelas Collin, Ahmad Zahid tidak akan diprejudis ketika prosiding bela diri didengar di mahkamah.

“Mahkamah berpandangan pemohon (Ahmad Zahid) masih mempunyai kebebasan menemu bual saksi pada bila-bila masa kerana kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga.

“Pihak pendakwaan bersedia untuk membantunya dalam hal itu.

“Ingin saya beritahu, pemohon masih akan berhadapan perbicaraan secara adil walaupun mahkamah menolak permohonan itu. Perbicaraan akan diteruskan dengan pemeriksaan balas,” katanya.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram milik dana milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, permohonan itu seperti mahu melengahkan masa kes.

Katanya, Ahmad Zahid mempunyai banyak masa untuk mendapatkan salinan yang diperlukannya itu namun beliau bertindak pada saat-saat akhir.

“Ini perbicaraan serius, tuduhan serius. Jika mahkamah benarkan penangguhan bila kita habis kes? Untuk makluman, tertuduh bukan tahanan reman jadi pada bila-bila masa boleh berjumpa atau soal balas saksi jadi mengapa perlu tangguh,” katanya.

Peguam Ahmad Zahid telah menjelaskan bahawa pihaknya tidak memohon untuk melengah-lengahkan perbicaraan kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah memberi keterangan pada peringkat pemeriksaan utama.

Hakim kemudian menangguhkan prosiding ke sebelah petang.

Bagaimanapun peguam mewakili Ahmad Zahid memberitahu terdapat barisan peguamnya yang tidak sihat, malah tertuduh juga tidak sihat.

Berikutan itu, Collin memutuskan prosiding bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette