Amirudin Shari dan Aminuddin Harun.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hari ini mengumumkan barisan kepimpinan baharu parti itu selepas keputusan rasmi pemilihan dibuat pada hari ini.

Menurut pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa, dua Menteri Besar daripada parti itu dipilih sebagai Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (Selangor) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).

Amiruddin mendapat undian tertinggi dengan 46,075 undi daripada ahli-ahli parti itu.

Dua lagi yang dipilih adalah Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seramai 13 pemimpin PKR gagal mendapat jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) antaranya G. Manivanan; Farhash Wafa Salvador, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Chan Ming Kai; Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

JPP turut mengumumkan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Rafizi secara rasminya mengalahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan 59,678 undi berbalas 43010 undi.

Sementara itu, jawatan bagi Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR pula disandang Adam Adli Abdul Halim manakala Muhammad Kamil Abdul Munim dipilih sebagai timbalan.

Naib Ketua AMK pula adalah Atyrah Hanim Razali, M Pravin dan B. Prasanth Kumar.

Jawatan Ketua Wanita pula milik Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek yang mengalahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail.

ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula diangkat sebagai Timbalan Ketua Wanita. – MalaysiaGazette