Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang saksi pendakwaan kes perbicaraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui beliau tidak berbohong ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Namun Abdul Hanan Khairi, 29, itu mengakui takut jika didakwa di mahkamah berkaitan kes-kes lain.

Bekas Exco Armada Bersatu itu pada mulanya tidak menjawab soalan peguambela Gobind Singh Deo sebaliknya meminta kebenaran untuk ke tandas.

Namun Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid meminta menjawab terlebih sebelum Abdul Hannan berkata; “Ya.”

Sebelum itu, Gobind bertanya sama ada perasaan takut itu timbul kerana terdapat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiringinya hari ini.

Malah Gobind juga berkata, Abdul Hannan berbohong apabila mengatakan Syed Saddiq mengarahkan tarikh sebut harga dan resit diubah ke belakang.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Hannan menegaskan dia tidak berbohong.

“Saya tidak berbohong tapi takut didakwa berkaitan kes-kes lain,” katanya yang juga editor syarikat Serious Kool Media.

Abdul Hannan yang berusia 29 tahun sebelum itu dalam keterangannya memberitahu, Syed Saddiq telah memintanya untuk mengemas kini sebut harga dan resit yang dibuat sehingga RM250,000 untuk bekalan baju raya, songkok, songket, aksesori dan hadiah untuk sayap Bersatu.

Nama beliau yang juga saksi ke-10 disebut oleh pemilik sebuah syarikat pembekalan pakaian dan aksesori memberitahu, Muhammad Naqib Abd Rahim yang memberitahu mahkamah yang Abdul Hannan mengarahkan tarikh sebut harga dan resit diubah ke belakang.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu kini berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette