Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – FELCRA Berhad mengumumkan sejumlah RM153 juta bagi Bayaran Keuntungan Boleh Agih Interim 1 kepada 75,800 pesertanya di seluruh negara tahun ini.

Jumlah itu menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid merupakan kenaikan 106 peratus atau hampir RM79 juta berbanding tahun lalu.

“Prestasi yang dicatat oleh FELCRA Berhad adalah sangat membanggakan dan saya sememangnya menggalakkan agar FELCRA menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang lain agar dapat mengembangkan lagi perniagaan syarikat terutama dalam teknologi pertanian.

“Ini sekaligus akan menambah dan meningkatkan lagi keuntungan operasi FELCRA dan seterusnya boleh memberikan pulangan pendapatan yang baik kepada seluruh peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 FELCRA Berhad di Padang Terap, Kedah hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELCRA Berhad, Datuk Mad Roni Zakaria.

Tambah Mahdzir, bayaran keuntungan itu akan dibuat mulai hari ini secara berperingkat kepada semua 75,800 orang peserta FELCRA di seluruh negara.

Jelas beliau, peningkatan prestasi Keuntungan Boleh Agih tahun ini dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit dan getah.

Sehingga bulan April 2022, purata harga komoditi sawit adalah hampir RM1,200 iaitu kenaikan sebanyak RM550 atau lebih 79 peratus berbanding harga tahun lalu iaitu RM670.

Selain itu, berlaku juga kenaikan purata pendapatan ladang perhektar iaitu sebanyak RM4,900 atau hampir 57 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM3,100.

“Pencapaian utama FELCRA ialah berjaya menyatukan dan memulihkan tanah yang bermasalah menjadi sebuah ladang dan estet yang besar dan ianya harus dijadikan model dan contoh kepada kawasan pertanian kecil lain di seluruh negara.

“Inisiatif penyatuan dan pemulihan tanah bermasalah yang dilaksanakan oleh FELCRA itu dengan kos pengurusan minimum iaitu hanya 6.5% sahaja telah merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat di luar bandar,” kata Mahdzir lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast