Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama keluarga dan barisan pimpinan kerajaan negeri Pahang serta 300 penonton di panggung wayang menonton filem Mat Kilau malam tadi di Kuantan

KUANTAN – Generasi hari ini memerlukan medium seperti filem Mat Kilau ini untuk menyuntik semangat nasionalisme dan patriotisme dalam diri.

Menteri Besar Pahang berkata, sesungguhnya negeri dan tanah air ini dibina dengan darah, keringat serta semangat perjuangan tinggi yang perlu dihayati dan dihargai.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian selepas bersama isterinya, Datin Seri Burhah Muhammed serta 300 penonton menyaksikan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, malam tadi.

Wan Rosdy bersama isteri, Burhah Muhammed menyaksikan filem Mat Kilau di Kuantan.

“Terbangkit semangat saya tatkala melihat aksi persilatan dan susunan kata-kata sarat nasihat dalam Filem Mat Kilau.

“Terasa benar aura perjuangan Mat Kilau, seorang tokoh pahlawan terkemuka dari Pahang yang cukup terkenal dengan keberanian menentang penjajah.

“Bagi saya, filem ini berjaya mengangkat martabat dan kehebatan negeri Pahang dalam melahirkan tokoh pejuang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan juga Dato Bahaman,” katanya gembira dengan sambutan Program Malam Patriotik Pahang.

Ujarnya tokoh-tokoh pahlawan berkenaan yang bukan sahaja handal bersilat dan cekap bermain senjata, tetapi juga penuh ilmu di dada serta kaya dengan budi bahasa.

“Terima kasih kepada Studio Kembara, Syamsul Yusof , barisan pelakon hadir, dan semua pihak yang menjayakan filem ini, termasuk rakyat Malaysia yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi dengan menonton filem ini di pawagam,” katanya. – MalaysiaGazette