BALING – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor berkata, adalah tidak adil untuk menunding jari terhadap pengusaha ladang durian Musang King di Gunung Inas berhubung fenomena kepala air yang berlaku hingga menjejaskan beberapa kawasan sekitar Kupang di sini, semalam.

Sebaliknya, jelas beliau, aliran air hujan yang terkumpul di aluran gunung terbabit menjadi penyebab utama kepada kejadian kepala air serta banjir lumpur di 12 kampung berhampiran.

“Belum dapat disahkan sama ada ia kerana ladang durian. Kita tak boleh lumur (tuduh) semua kat dia (pengusaha ladang), kesian kat dia juga.

“Saya bukan kesian apa, kita kena sahkan secara bukti saintifik dan nyata, kalau tidak ia tidak adil,” katanya pada sidang media di pusat gerakan operasi bencana di sini, hari ini.

Tambah Sanusi, beliau pernah mengeluarkan arahan pada tahun 2020 supaya pengusaha ladang durian melakukan penanaman pokok semula di kawasan yang telah digondolkan di Gunung Inas.

“Saya dapati mereka ada tanam pokok-pokok, tapi ia mungkin tidak mampu untuk menyerap aliran air hujan yang banyak,” ujar beliau.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, fenomena kepala air yang menjejaskan beberapa kawasan di Kupang di sini, sama seperti yang berlaku di Gunung Jerai sehingga menyebabkan daerah Yan terjejas teruk pada tahun lalu.

“Setakat ini seramai 627 mangsa membabitkan 12 kampung dan tiga kematian direkodkan dalam insiden kepala air ini.

“Kerajaan negeri juga akan menyediakan penempatan sementara kepada mereka yang terlibat di lokasi yang selamat.

“Setakat ini juga, kawasan ini tidak diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan penilaian  yang dijalankan mendapati ia tidak sampai ke tahap bencana,” jelas Muhammad Sanusi. – MalaysiaGazette