Keadaan selepas insiden kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Baling Kedah pada 4 Julai lalu.

BALING – Insiden kepala air serta banjir besar yang melanda beberapa kampung di daerah ini didakwa berpunca daripada projek durian Musang King di Gunung Inas di sini.

Dakwaan tersebut diakui rata-rata penduduk kawasan berkenaan terutamanya Kampung Iboi yang terjejas teruk dalam insiden kepala air itu.

Penduduk turut mendakwa,  mereka dibelenggu pelbagai masalah akibat projek Musang King itu sejak lima tahun lalu.

Menurut Sopian Mohd Aziz, 53, kejadian kepala air serta banjir ini merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh 50 tahun dia menetap di Kampung Iboi.

Jelasnya, penduduk di sini sangat terkesan dengan projek Musang King tersebut kerana ia mengganggu bekalan air masyarakat yang diguna mereka sejak berkurun lalu.

Sopian Mohd Aziz

“Kami difahamkan ada kolam takungan sebesar dua padang bola dibuat di atas gunung ini, selain ia diterokai untuk projek Musang King.

“Projek Musang Kini itu dilakukan sejak lima tahun lalu dan kemuncak kesannya adalah semalam yang mana Kampung Iboi ini lumpuh sepenuhnya akibat dibadai kepala air.

“Lebih teruk lagi apabila air masyarakat yang digunakan selama ini keruh dipercayai akibat projek sama. Nasib baik ada saluran air Syarikat Air Darul Aman (SADA) kalau tidak tak tahu nasib kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Selain itu, Sopian turut mendakwa tempat peranginan Lata Celak yang dulu menjadi tumpuan pelancongan ‘mati’ sejak projek Musang King dilaksanakan susulan air sungai bertukar keruh sekali gus tidak sesuai untuk aktiviti riadah.

Sementara itu, turut menyampaikan dakwaan sama, Muhammad Yusof Mohd Piah, 53, berkata, projek durian itu mendapat bantahan majoriti penduduk susulan bimbang kejadian sebegini berlaku.

Muhammad Yusof Mohd Piah

“Kejadian banjir besar hingga meragut nyawa serta kehilangan harta benda inilah yang kami tak mahu berlaku menyebabkan bantah dibuat berkaitan projek Musang King itu.

“Semuanya kini hancur seperti yang dijangka. Kami harap tindakan diambil terhadap mereka yang menyebabkan dalam kalangan kami kehilangan ahli keluarga serta rumah,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan tujuh buah rumah hanyut akibat insiden tersebut termasuk kediaman tiga beranak yang dilaporkan hilang sehingga kini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast